Pantai Irama meriah dengan aksi 32 ekor beruk `pulas nyior’  - Utusan Malaysia

Pantai Irama meriah dengan aksi 32 ekor beruk `pulas nyior’ 

PERTANDINGAN beruk pulas nyor berjaya tumpuan pengunjung HPPN di Pantai Irama, Bachok, Kelantan. FOTO/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Aksi 32 ekor beruk menyertai Pertandingan Beruk Pulas Nyior sempena  Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan (HPPN) di Pantai Irama semalam mencuri  tumpuan  pengunjung yang seronok melihat gelagat haiwan itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakap Jabatan Veterinar Negeri Kelantan berkata,  pertandingan satu jam itu melibatkan kategori beruk tangkas, beruk lembik atau  beruk pemalas dalam memetik dan menggugurkan buah kelapa untuk mendapatkan mata kemenangan.

Menurut beliau, tiga kategori tersebut turut dibahagikan mengikut saiz dan usianya iaitu besar, pertengahan dan remaja tanpa mengira jantinanya.

“Setiap beruk diberi masa seminit untuk menggugurkan kelapa. Selain itu pertandingan ini turut menguji kemampuan pemilik beruk dalam mengendalikan haiwan masing-masing.

“Hanya 250 biji kelapa berjaya digugurkan terutama oleh beruk tangkas dewasa daripada kategori saiz besar,” kata jurucakap berkenaan ketika ditemui. 

Lima juri dalam kalangan cikgu beruk serta anggota Persatuan Beruk Bachok mengendalikan pertandingan itu.

Sembilan hadiah utama dan lapan hadiah saguhati disampaikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Pertandingan Beruk Pulas Nyior adalah acara tradisi setiap kali penganjuran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan dianjurkan setiap tahun sebagai pengiktirafan kepada pemilik beruk yang turut menyokong industri makanan negara.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN