OPR naik: Pinda Akta BNM 2009

OPR naik: Pinda Akta BNM 2009

wang digital
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Akta Bank Negara Malaysia (BNM) 2009 wajar dinilai semula dan dipinda susulan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Rabu lalu.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Shahril Sufian Hamdan berkata, pindaan itu bagi memastikan sebarang pelaksanaan dasar monetari tidak hanya melibatkan BNM.

Selain itu, pindaan perlu dilakukan selepas peningkatan OPR beri kesan kepada semua tanpa mengira pihak terbabit dan kemampuan mereka yang meminjam.

“Kita perlu berbalik kepada undang-undang. Andai kata satu hari nanti perlu dipinda undang-undang untuk memberi lebih banyak kuasa kepada kerajaan supaya ada pengaruh secara terus, ia perlu dibincangkan.

“Sebab BNM diberi kebebasan untuk tetapkan dasar mone­tari. Mereka bukan wakil rakyat dan setiap keputusan yang dibuat BNM beri kesan pada semua,” katanya baru-baru ini.

Rabu lalu, BNM mengumumkan OPR dinaikkan 25 mata asas menjadikan kadarnya ketika ini 2.25 peratus dan terdapat kemungkinan ditingkatkan secara berperingkat kepada 3.00 menjelang tahun depan.

Perkara itu diputuskan Jawatankuasa Dasar Monetari yang tanggungjawab bagi merumuskan dasar monetari.

Berdasarkan Akta BNM 2009, dasar monetari bank dirumuskan dan dilaksanakan secara autonomi tanpa apa-apa pe­ngaruh luar menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari.

Jawatankuasa tersebut terdiri daripada Gabenor, timbalan Gabenor dan tidak kurang daripada tiga tetapi tidak lebih daripada tujuh anggota lain.

Dalam pada itu, Shahril Sufian berkata, BNM juga wajar memberi penjelasan terperinci dan telus termasuk di Parlimen secara terbuka terhadap sebarang dasar yang dilaksanakan.

“Apa yang nak ditekankan ialah, BNM perlu berdepan de­ngan rakyat untuk menjelaskan rasional sebarang pelaksanaan yang dibuat.

“Di negara luar, Gabenor akan disoal oleh Parlimen, diso­al terbuka menerusi televisyen bagi menjelaskan satu-satu tindakan dibuat,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Shahril Sufian yakin negara tidak akan berlaku hiperinflasi pada masa akan datang.

“Ada harga barang tertentu melonjak naik ada yang tidak naik. Faktor yang boleh sebabkan hiperinflasi ini apabila tiap-tiap bulan harga dan gaji sama naik.

“Apabila gaji naik pengeluar ju­ga naikkan harga. Ia bergerak se­begitu. Namun perkara itu ti­dak berlaku pada masa sekarang. Saya masih menaruh harapan ia tidak berlaku sebab ada­nya subsidi yang tinggi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN