Nilai ringgit akan kembali kukuh

Nilai ringgit akan kembali kukuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nilai mata wang ringgit tidak akan terus merosot berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada tahun ini kerana asas ekonomi negara masih lagi berada dalam keadaan kukuh.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff menjelaskan, perkara itu boleh dilihat menerusi lebihan dagangan iaitu jumlah eksport melebihi jumlah import, yang akan meningkatkan permintaan terhadap ringgit.

“Jumlah pelaburan langsung asing (FDI) yang tinggi dicatatkan untuk separuh tahun pertama tahun ini juga akan membantu mengukuhkan ringgit apabila pelabur mula membawa masuk pelaburan mereka ke negara ini.

“Harga komoditi yang kekal tinggi seperti minyak petroleum yang masih berlegar sekitar AS$110 dolar dan harga minyak sawit sekitar RM4,500 per tan juga mampu mengukuhkan ringgit sepanjang tahun ini,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah yang meramalkan nilai ringgit dijangka terus merosot sehingga RM5.70 berbanding satu dolar AS jika tiada tindakan segera diambil bagi mengekang kejatuhannya.

Pensyarah ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata,  kejatuhan nilai ringgit hanya bersifat sementara.

“Nilai ringgit jatuh tidak semestinya lemah, sedangkan mata wang dolar AS juga dalam keadaan lemah, ramai pihak yang ramal ekonomi AS akan runtuh. Sebab itu mereka naikkan kadar faedah dua kali ganda. Jadi, ini gejala jangka pendek dan tidak akan merudum terlalu lama,” katanya.

Namun, beliau mencadangkan kepada kerajaan supaya menyediakan mekanisme yang membolehkan sumber pendapatan meningkat dalam setiap tempoh lima tahun.

“Sudah diramalkan setiap 10 tahun, ekonomi dunia akan mengalami kegawatan. Dijangkakan satu lagi akan berlaku dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Kita perlu bersedia dengan mekanisme tertentu, bersedia untuk melabur untuk masa depan supaya kita dapat stabilkan ekonomi.

“Kita juga perlu memastikan kajian dilakukan supaya pendapatan dapat ditingkatkan untuk setiap lima tahun,” katanya.

Bank Dunia menjangkakan ekonomi negara naik 5.5 peratus tahun ini, dipacu oleh aktiviti jual beli pengguna.

Ekonomi negara yang naik 3.1 peratus pada 2021 turut dijangka naik 4.5 peratus pada 2023 dan 4.4 peratus pada 2024. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN