KOTA BHARU: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyerahkan kepada bidang kuasa negeri masing-masing berhubung kebenaran untuk menaikkan had umur perempuan berkahwin daripada 16 kepada 18 tahun.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, sebagai contoh Kedah telah menaikkan had umur tersebut berdasarkan kepada keperluan dan juga kajian yang dibuat pihak berkuasa.
“Oleh itu bagi negeri lain kita serahkan dan terpulang kepada bidang kuasa masing-masing,” katanya ketika diminta mengulas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah berkait pindaan yang menetapkan had umur perkahwinan bagi perempuan Islam dinaikkan daripada 16 tahun kepada 18 tahun.
Media 18 Julai lalu melaporkan, DUN Kedah meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Keluarga Islam berkaitan had umur perkahwinan dan undang-undang poligami pada Isnin.
Speaker DUN Kedah, Datuk Juhari Bulat memberitahu, pindaan berkenaan menetapkan had umur perkahwinan bagi perempuan Islam dinaikkan daripada 16 tahun kepada 18 tahun.
Jelasnya, individu berusia bawah 18 tahun yang berhasrat berkahwin bagaimanapun boleh mengemukakan permohonan kepada mahkamah bagi tujuan itu. – UTUSAN










