Naikkan kadar pemberian Rancangan Makanan Tambahan - Utusan Malaysia

Naikkan kadar pemberian Rancangan Makanan Tambahan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar pemberian Rancangan Makanan Tambahan (RMT) wajar dinaikkan antara RM5 hingga RM7 selaras dengan situasi semasa harga barangan yang terus melambung.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, jumlah berkenaan disifatkan bersesuaian terutama bagi mendapatkan kualiti makanan yang terbaik untuk murid-­murid.

“Kerajaan perlu membuat tindakan segera berhubung cadangan menaikkan kadar RMT kerana jika dilengahkan, saya bimbang kesan kepada murid dan pengusaha kantin.

“Pertamanya, mungkin murid tidak boleh mendapat nutrisi terbaik untuk pertumbuhan minda dan kesihatan mereka kerana kekangan harga bara­ngan yang menghalang pihak kantin menyediakan makanan yang berkhasiat,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Utusan Malaysia melaporkan desakan pengusaha kantin sekolah di Negeri Sembilan yang mahu kerajaan segera meluluskan kenaikan kadar pemberian RMT seperti yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan baru-baru ini.

Menurut Mohd. Yusri Jaafar, 48, kadar RM2.50 di Semenanjung dan RM3 bagi murid di Sabah, Sarawak dan Labuan sudah tidak lagi relevan pada masa ini.

Terdahulu, isu RMT mula menjadi perhatian ramai susulan pendedahan warganet menerusi media sosial baru-baru ini yang menunjukkan hida­ngan disediakan amat sedikit dan tidak berkhasiat.

Sementara itu, Presiden Alumni Gabungan Pelajar Malaysia Semenanjung (GPMS), Datuk Syed Anuar Syed Mohamad menggesa Kementerian Pendidikan untuk melakukan kajian menyeluruh dan segera berhubung isu berkenaan.

Katanya, sudah sampai masanya kadar makanan RMT itu dipertimbangkan semula dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak.

“Saya berharap kerajaan dapat mengumumkan kadar baharu itu dalam Belanjawan 2023,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN