IPOH: Polis akan mengambil keterangan pemandu kereta Toyota Hilux yang terlibat dalam nahas mengorbankan lima sekeluarga berhampiran Hentian Titiwangsa di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di Gerik, kelmarin, dalam masa terdekat bagi membantu siasatan
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, wanita berusia 53 tahun itu kini menerima rawatan di Hospital Jeli, Kelantan kerana mengalami kecederaan di dada dan paru-paru.
“Setakat ini, dua penumpang kenderaan itu telah dirakam percakapan mereka. Kita belum lagi dapat merekod keterangan pemandu kerana dia masih dalam rawatan di hospital.
“Selepas wanita itu pulih dan dibenarkan keluar dari hospital, kita akan panggil dia untuk merekod keterangannya pula,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.

MIOR Faridalathrash Wahid (tengah) dalam sidang akhbar mengenai rampasan dadah di IPK Perak di Ipoh hari ini. – UTUSAN/ASLIZA MUSA
Berita berkaitan:
- Jenazah 5 sekeluarga maut kemalangan selamat dikebumikan
- 5 sekeluarga maut: Mangsa dalam perjalanan ziarah saudara
- Kanak-kanak perempuan antara 5 maut nahas di jalan raya Timur Barat
Terdahulu media melaporkan, lima maut termasuk kanak-kanak perempuan berusia lima tahun selepas kereta jenis Perodua Alza yang dinaikinya mereka terlibat nahas membabitkan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
Mangsa, Mohd. Rodhi Othman, 58, dan isteri, Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59, serta anak perempuan mereka, Siti Aishah, 32, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Turut terkorban dalam nahas itu, suami Siti Aishah, Ahmad Khomaini Abu, 30-an, dan anak perempuan mereka ,Zara Hana berusia lima tahun. – UTUSAN