KUALA LUMPUR: Mustahil untuk Kerajaan Persekutuan memberikan 40 peratus hasil negeri dikutip daripada Sabah kerana kerajaan tidak mempunyai wang mencukupi jika dikira sejak tahun 1948 atau 1970 hingga kini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pemberian khas itu tidak mudah, sebab itu kedua-dua kerajaan bersetuju menerima dan meningkatkan pemberian khas menerusi geran tahunan setiap lima tahun kerana mekanisme pemulangan hasil negeri 40 peratus masih kabur.
Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah bagaimanapun berkata, kerajaan negeri berpendirian pemberian khas tersebut mesti direalisasikan dengan syarat ada langkah jelas supaya tidak mendatangkan masalah pada masa hadapan.
“Saya mahu tanya Azis Jamman (Ahli Parlimen Sepanggar), dari tahun berapa beliau mahu kira 40 peratus ini? Kalau tahun 1970-an, sudah berapa bilion dan berapa pula wang negara ada? Semasa beliau jadi timbalan menteri, tidak pula suarakan perkara ini bila sudah jadi pembangkang dekat pilihan raya baru bersuara.
“Sabah memang selalu berunding dengan Persekutuan untuk penyelarasan (pemberian khas) jika pemberian 40 peratus tidak boleh diberikan, kerana ini sangat membebankan kerajaan. Jadi, mungkin boleh bermula dengan kiraan-kiraan seperti hari ini, contohnya geran RM146 juta mungkin tahun depan naik ke RM300 juta,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam.
Ahli Parlimen Sepanggar dari Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman merupakan wakil rakyat pembangkang yang mempertikai isu 40 peratus hasil negeri setelah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada mesyuarat Parlimen Mac lalu memberitahu, rundingan pemberian khas dan formula 40 peratus hasil bersih negeri sudah ‘tidak lagi terpakai’.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, pemberian khas itu yang selama ini menjadi tuntutan rakyat Sabah mungkin ‘terkubur’ setelah kerajaan mewartakan kajian semula pemberian khas melalui geran tahunan (pemberian lain) selama lima tahun.
Warta itu dinamakan Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas di bawah Perkara 112D) (Negeri Sabah) 2022 yang dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah pada 14 Februari 2022, menyaksikan Persekutuan hendaklah memberikan dana masing-masing berjumlah RM125.6 juta (2022), RM129.7 juta (2023), RM1333.8 juta (2024), RM138.1 juta (2025) dan RM142.2 juta (2026) sebagai gantian pemberian khas 40 peratus.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, pemberian khas menerusi geran tahunan dinaikkan 4.7 kali ganda atau RM125.6 juta (2022) berbanding RM26.7 juta sejak 1973 (ulangkaji pertama).
Di awal pembentukan Malaysia, Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Subseksyen 2(1), Bahagian IV, Jadual Ke-10, Perlembagaan memperuntukkan, Sabah berhak menerima pemberian khas dengan dua perlima atau 40 peratus daripada hasil negeri yang dikutip Kerajaan Persekutuan setiap.
Bagaimanapun, pembangkang berpendapat, pemberian khas itu tidak berdasarkan formula 40 peratus dan nilai sebenar adalah jauh lebih besar jika Kerajaan Persekutuan dan negeri bersetuju mengikuti formula berkenaan.
Mengulas lanjut, Bung Moktar mengakui geran tahunan tidak berdasarkan formula 40 peratus seperti didakwa pembangkang, namun, setidak-tidaknya nilai itu terus dipertingkat dari semasa ke semasa bergantung dengan ekonomi negara.
“Nilai geran tahunan ini bukan mati di situ sahaja. Kalau ekonomi negara baik, kita (Sabah) pun akan minta lebih lagi. Mungkin tahun depan pergi naik ke RM300 juta, RM400 juta bergantung dengan kewangan yang ada dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Bung Moktar turut menafikan Kerajaan Persekutuan tidak mahu mendedahkan berapa jumlah keseluruhan hasil negeri yang dikutip kerajaan setiap tahun kerana ia direkodkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara.
“Dia kena baca rekod auditlah. Kerajaan Persekutuan beri jaminan akan terus membangunkan Sabah dan kita pun akan terus berbincang macam mana menyelaras perjanjian-perjanjian ini supaya dapat dinikmati rakyat Sabah walaupun tidak sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN











