KUBANG PASU: Tiada sebarang salah laku dikesan melibatkan projek tanaman durian Musang King di Gunung Inas, Baling memandangkan ia telah mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri sebelum dilaksanakan.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Muhamad Abdullah berkata, mengikut rekod, projek itu mempunyai laporan penilaian impak alam sekitar (EIA), namun siasatan sedang dilakukan bagi memastikan sama ada ia mematuhi jenis tanaman mengikut kelulusan yang diberikan atau sebaliknya.
“Apabila ia diluluskan EIA, (dalam laporan itu) ada (nyatakan) spesies yang boleh ditanam, jadi bila dia nak buat tindakan itu (tukar tanaman), dia kena rujuk balik kepada ini (EIA). Tapi saya akan semak dahulu sebab data tiada di tangan saya sekarang.
“Tiada salah laku kerana ini semua adalah keputusan kerajaan negeri, kalau kerajaan negeri benarkan, jadi tak ada salah laku apa-apalah,” katanya ketika ditemui selepas Program Penanaman Pokok Sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2022 yang disempurnakan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Tasik Darulaman di sini hari ini.
Dalam tragedi kepala air dan banjir lumpur di Kampung Iboi, Kupang dekat sini pada 4 Julai lalu, penduduk mendakwa projek tanaman Musang King menjadi penyebab kepada kemusnahan teruk kediaman mereka selain mengorbankan tiga sekeluarga.
Muhamad berkata, bagi Kedah, tiada kawasan yang diteroka tanpa kebenaran kerajaan negeri atau diceroboh secara haram bagi pembangunan ladang.
Sementara itu, beliau mengesahkan kerja-kerja penanaman durian Musang King di Gunung Inas sudah dihentikan sejak jabatan tersebut menerima arahan berkaitan larangan itu daripada kerajaan negeri pada Disember 2020 dan Mac 2021.
Bagaimanapun, pengusaha ladang durian tersebut masih dibenarkan untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan terhadap pokok-pokok durian yang sudah ditanam.
“Apabila arahan diterima dari kerajaan negeri, kita tak benarkan penanaman pokok baharu dibuat tetapi mereka boleh masuk untuk buat penyelenggaraan terhadap pokok-pokok yang sudah ditanam.
“Sebabnya ada laporan EIA yang perlu mereka patuhi seperti membaiki jalan, longkang dan sebagainya. Nak membaja atau merumput juga kita benarkan tetapi jika mereka nak tanam pokok durian Musang King yang baharu, kita tak benarkan,” katanya.
Tambah Muhamad, JPNK juga sedang berbincang bersama kerajaan negeri bagi menentukan jenis tanaman yang perlu ditanam di kawasan puncak Gunung Inas yang didapati masih terbuka.
“Kawasan yang terbuka tidak boleh dibiar terlalu lama, perlu cepat ditanam pokok. Mengenai spesies pokok yang akan ditanam, kita perlu bincang bersama kerajaan negeri dahulu. Sama ada tanam pokok litup bumi atau spesis pokok berkayu lain yang kita akan putuskan nanti,” katanya.
Beliau berkata, laporan berkaitan kejadian bencana dan siasatan yang dilakukan JPNK berkaitan keadaan Gunung Inas akan diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah esok. – UTUSAN