WASHINGTON: Universiti awam di wilayah Midwest, Amerika Syarikat (AS) kini menaikkan yuran untuk pelajar luar negeri, manakala institusi di Florida juga mempertimbangkan langkah sama buat kali pertama sejak 2012.
Beberapa universiti terkemuka seperti Cornell dan Duke sedang mempertimbang untuk melaksanakan pemberhentian pekerja.
Universiti Minnesota pula mengumumkan pemotongan ratusan jawatan, walaupun yuran pengajian pelajar sarjana muda meningkat sehingga 7.5 peratus.
Institusi pendidikan tinggi kini bergelut dengan peningkatan kecil dana negeri serta ramalan ekonomi yang tidak menentu, sementara Parti Republikan mencadangkan pemotongan bajet persekutuan dan kemungkinan kenaikan cukai.
Pelajar dan kakitangan universiti di seluruh AS kini bersedia untuk menghadapi tekanan kewangan yang semakin ketara.
Walaupun kesannya berbeza mengikut institusi, pihak pentadbiran memberi amaran ramai pelajar mungkin terpaksa membayar yuran lebih mahal, pensyarah berisiko hilang pekerjaan, program pengajian dihentikan dan perkhidmatan sokongan pelajar akan dikurangkan.
Sehari sebelum Lembaga Pemegang Amanah Universiti Negeri Michigan meluluskan kenaikan yuran pengajian, sebuah kampus Universiti California berhampiran Lautan Pasifik mengumumkan pengurangan kakitangan.
Usaha pentadbiran Donald Trump untuk mengurangkan dana penyelidikan menyebabkan banyak universiti kehilangan peruntukan kewangan, sehingga mencecah ratusan juta dolar.
Sementara itu, universiti penyelidikan yang sangat bergantung kepada pembiayaan persekutuan turut terkesan apabila terpaksa menstruktur semula belanjawan mereka.
Di Universiti Minnesota, yuran pengajian kampus Twin Cities dijangka meningkat sekurang-kurangnya 6.5 peratus, manakala pemotongan belanjawan sebanyak 7 peratus sedang dilaksanakan.
Jabatan akademik diarahkan untuk membuat ‘peruntukan semula’ berjuta-juta dolar, yang mungkin menyaksikan pengurangan bahan di perpustakaan undang-undang dan penamatan beberapa program.- NYTimes










