KOTA KINABALU: Selepas usul membahaskan tentang ancaman keselamatan daripada waris Sultan Sulu ditolak serentak oleh Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) Sabah, Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal akan mengemukakan semula usul berkenaan di DUN Sabah hari ini.
Ketua Pembangkang DUN Sabah itu berkata, beliau kesal apabila isu membabitkan kedaulatan dan keselamatan negara tidak dibahaskan.
“Saya telah bersuara di DUN Sabah yang merupakan landasan yang berdaulat dan berasingan dengan Dewan Rakyat.
“Keselamatan dan kedaulatan ini cukup penting untuk kita jadi, saya amat kesal apa yang berlaku. Saya berharap pimpinan negara kita mengambil berat tentang kejadian yang berlaku.
“Saya juga berharap perkara ini mendapat perhatian daripada pihak pemerintah Malaysia untuk meneliti bagaimana dasar dan sistem keselamatan negara kita,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Warisan semalam.
Mengulas lanjut katanya, sistem pertahanan negara perlu penstrukturan semula bagi membolehkan penempatan pasukan dan aset keselamatan berada di lokasi yang diperlukan.
Menurut beliau, kerajaan perlu memastikan keselamatan dan kedaulatan negara dapat dijaga dengan baik kerana insiden seperti rampasan aset Petronas bernilai AS15 bilion di Azerbaijan telah menimbulkan masalah dan menjadi perhatian.
Malah, insiden pencerobohan Tanduo di Lahad Datu juga meragut nyawa manusia dan ia bukan hanya mengenai penculikan tetapi, membabitkan pembunuhan.
“Kita seakan-akan tidak mengambil berat tentang perkara ini, tidak mengambil berat tentang nyawa rakyat Malaysia yang berada di Sabah,” katanya.
Justeru, Ahli Parlimen Semporna itu akan mengemukakan semula usul tersebut kepada DUN Sabah bagi membolehkan ia dibahaskan.
Dalam persidangan DUN Sabah semalam, Speaker DUN, Datuk Kadzim M. Yahya menolak usul dikemukakan Mohd. Shafie atas alasan permohonan membentangkan usul itu hanya dibuat kurang 24 jam sebelum persidangan bermula.
Usul mengenai rampasan dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan oleh waris Sultan Sulu yang dikemukakan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) turut ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Harun sehingga menyebabkan Isnaraissah digantung selama dua hari. – UTUSAN