Melaka kenal pasti 13 tapak PPR baharu

Melaka kenal pasti 13 tapak PPR baharu

SULAIMAN Md. Ali (tiga dari kiri) bersama Reezal Merican Naina Merican (dua dari kiri) ketika Majlis Pelancaran Skim RTO PPR Tehel dan PPR Krubong di Jasin, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Kerajaan negeri telah menghantar 13 cadangan tapak projek perumahan rakyat (PPR) Melaka kepada kerajaan Persekutuan untuk dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan RMK-13.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, jumlah keseluruhan tapak cadangan projek itu melibatkan kawasan seluas 36.26 hektar.

Katanya, 13 kawasan itu membabitkan PPR Lendu, PPR Machap, PPR Lesung Batu, PPR Bukit Katil, PPR Kudu, PPR Pondok Batang dan PPR Nyalas.

“Turut terlibat adalah PPR Asahan, PPR Masjid Baru, PPR Paya Rumput, PPR Sungai Udang, PPR Durian Tunggal dan PPR Sungai Rambai. Semua ini (cadangan) telah kita hantar dan kawasan seperti mana saya sebut tadi telah dikenal pasti. Kita cuba masukkan dalam RMK-12. 

“Inilah 13 kawasan baru untuk kita bina PPR dan kalau boleh konsep PPR ini nanti cuba buat konsep sewa untuk dimiliki (RTO). Kita boleh lihat kemudahan di PPR Tehel ini sangat cantik dan biarlah (projek baharu) rakyat Melaka dapat memiliki rumah berkualiti,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar Majlis Pelancaran RTO PPR Tehel dan PPR Krubong di sini semalam.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memaklumkan, kerajaan Pusat telah membelanjakan dan meletakkan komitmen perbelanjaan kira-kira RM354 juta bagi pembinaan enam projek PPR di Melaka.

Menurutnya, tiga projek dengan 1,436 unit kediaman telah siap iaitu PPR Tehel, PPR Sungai Putat dan PPR Krubong sementara 375 unit masih dalam pembinaan membabitkan PPR Pulau Gadong serta PPR Tangga Batu.

“Satu projek dengan 300 unit kediaman di PPR Jasin masih di peringkat perancangan. Inisiatif kerajaan negeri untuk menawarkan skim RTO adalah langkah tepat bagi membantu rakyat memiliki rumah sendiri berbanding secara penyewaan sebelum ini.

“Impian lebih 3,000 isi rumah Keluarga Malaysia di PPR Tehel dan PPR Krubong menjadi kenyataan apabila menjadikan skim di kedua-dua PPR ini sebagai RTO,” katanya. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN