Maritim Malaysia rampas dadah bernilai RM1.76 juta

Maritim Malaysia rampas dadah bernilai RM1.76 juta

SHAHRIZAN Raman (tengah) menunjukkan hasil rampasan dadah yang dibuang ke perairan Inderasabah, Tawau dalam sidang akhbar hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Cemas dengan kehadiran pihak berkuasa, juragan bot bertindak membuang sebuah beg yang mengandungi dadah jenis syabu seberat kira-kira 32 kilogram ke perairan Inderasabah, semalam.

Dalam kejadian pada pukul 11.30 malam itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau berjaya merampas dadah bernilai kira-kira RM1.76 juta yang dibuang di perairan berkenaan.

Pengarah Zon Maritim Daerah, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, rampasan itu dilakukan semasa rondaan Op Sejahtera di kawasan sekitar 0.2 batu nautika selatan Indrasabah.

Beliau berkata, semasa melakukan penugasan, pasukan bot peronda menghampiri sebuah bot yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Apabila dihampiri, bot terbabit bertindak memecut laju dan cuba melarikan diri menuju ke arah muara Sungai Inderasabah.

“Ketika proses kejar-mengejar, juragan bot bertindak membuang sesuatu keluar dari bot sebelum memecut laju ke kawasan paya bakau dan perairan cetek bagi meloloskan diri daripada ditahan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut beliau, pencarian di kawasan persekitaran menemukan sebuah beg berisi 32 paket bungkusan dengan label teh cina Guan Ying Wang yang mengandungi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat satu kilogram setiap paket.

Jumlah keseluruhan melebihi 32 kilogram yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1.76 juta dan kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jelas beliau, semua hasil rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim daerah dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya.

Shahrizan berkata, siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan sindiket atau dalang yang terlibat dengan kegiatan ini.

Maritim Malaysia akan terus memperkasa tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Beliau menasihatkan komuniti maritim supaya menyalurkan maklumat mengenai sebarang salah laku jenayah di sekitar perairan daerah itu ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 atau melalui talian kecemasan MERS 999. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN