Penggunaan PLB perlu diwajibkan kepada pengusaha bot memancing

Maritim Malaysia mahu penggunaan PLB diwajibkan kepada pengusaha bot memancing

MOHD. Zubil Mat Som (dua dari kanan) turut menyertai Pertandingan Menembak Bersama Media anjuran Maritim Malaysia di Lapang Sasar Mantin, di Seremban hari ini-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan mencadangkan supaya alat, personal locator beacons (PLB) menjadi syarat wajib untuk digunakan bot-bot nelayan dan pengusaha bot pemancing di negara ini.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, cadangan itu akan dibawa pihaknya kepada jabatan dan agensi berkaitan dalam masa terdekat sebagai langkah memudahkan penyaluran bantuan operasi mencari dan menyelamat (SAR) jika berlaku kejadian seperti bot membawa pemancing hilang di tengah laut.

“Kami telah uar-uarkan untuk pengusaha bot membeli dan menggunakan PLB ini, harganya paling mahal adalah RM1,300. Kalau mereka ada alat ini, jika berlaku kecemasan seperti bot karam atau rosak, isyarat tersebut boleh diketahui dengan tepat oleh stesen Maritim Malaysia menerusi sistem satelit dengan cepat.

MOHD. Zubil Mat Som menunjukkan alat PLB dalam sidang akhbar selepas menghadiri Pertandingan Menembak Bersama Media anjuran Maritim Malaysia di Lapang Sasar Mantin, di Seremban hari ini-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

“SAR ini melibatkan nyawa, jadi kita kena cepat dan tidak boleh lambat. Selain itu, penggunaan PLB membolehkan kita mengurangkan kos operasi SAR yang kebiasaannya mengambil masa 48 jam termasuk penggunaan pesawat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Pertandingan Menembak Bersama Media anjuran Maritim Malaysia di Lapang Sasar Mantin, di sini hari ini.

Tambah beliau, sebagai langkah keselamatan itu juga, Maritim  Malaysia juga menyarankan agar individu pemancing turut mengunakan PLB jika ke tengah laut.

“Jangan abaikan penggunaan alat ini, jika datang berkumpulan, seorang sahaja ada juga sudah mencukupi. Selepas ini mereka juga perlu pastikan bot yang mereka naiki untuk memancing juga ada PLB ini, jika tiada jangan naik, ini melibatkan nyawa.

“Boleh saya katakan hanya lima peratus sahaja daripada keseluruhan bilangan bot nelayan dan bot membawa pemancing di seluruh negara mempunyai alat ini, ia agak mengecewakan sedangkan kami sudah banyak kali menyarankan agar PLB ini digunakan mereka,” katanya.

Sementara itu, mengulas kejadian sepuluh orang pemancing yang hilang selepas tidak kembali ke Jeti Pengkalan Kubu, Kuala Besut, Terengganu dan kemudiannya selamat ditemui, semalam, Mohd. Zubil berkata, tiga orang kru bot tersebut telahpun ditahan untuk siasatan lanjut.

“Tiga tekong telah ditahan dan kami akan periksa semua termasuk kelengkapan bot seperti jaket kesalamatan, bot usang ataupun ada kebocoran dan sebagainya, bagi saya ini cuai.

“Sebelum ini kami tidak siasat, tetapi selepas ini dan saya juga sudah arahkan kepada semua negeri yang mengendalikan SAR, sekiranya ada kejadian SAR di laut khususnya yang membawa  pemancing dan penumpang, kami akan tahan bot dan pengusahanya.

“Kami ambil keterangan, siasat jika wujud unsur kecuaian dan kemudian untuk dibuat pertuduhan di mahkamah,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN