KANGAR: Hubungan diplomatik Malaysia-Jepun yang memasuki ulang tahun ke-65 terus diperkasakan selain mempertingkatkan kerjasama dua negara itu.
Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, Nor’ Azam Mohd. Idrus berkata, pada tahun 2015, hubungan itu telah dinaik taraf daripada ‘Enhanced Partnership kepada Strategic Partnership’.
Katanya, mengambil kira hubungan Malaysia dan Jepun yang terus berkembang maju, kedua-dua negara juga dijangka akan menaik taraf kerjasama sedia ada ke peringkat lebih komprehensif.
“Pada masa ini, Malaysia telah bekerjasama dengan Jepun dalam bidang teknologi vaksin Covid-19 antara Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan, Malaysia (NIID) dan Agensi Farmaseutikal dan Peralatan Perubatan (PMDA) Jepun melalui Agensi Pengawalseliaan Farmaseutikal Kebangsaan Malaysia (NPRA).
“Malaysia juga berminat mengadakan latihan teknikal bersama Jepun dengan fokus kepada ujian identiti, potensi dan integriti untuk pembangunan vaksin Covid-19,” katanya ketika menyambut keberangkatan tiba Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di lapangan terbang antarabangsa Narita, Tokyo, hari ini.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda-anakanda baginda berdua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Baginda yang juga merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut berkenan menyerahkan sumbangan sebanyak RM5,000 untuk tabung Ibnu Sabil bagi kegunaan rakyat Malaysia yang dalam kesusahan di negara matahari terbit itu.
Tambah Nor’ Azam, Jepun diiktiraf sebagai peneraju utama dunia dalam inovasi digital dan hab keusahawanan dengan Malaysia turut berminat untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang tersebut.
“Jepun juga sangat agresif dalam meneroka pelaburan berasaskan teknologi hijau untuk mencapai pengurangan pelepasan karbon di udara.
“Mengikut pemerhatian, Malaysia adalah merupakan rakan strategi yang berpotensi berdasarkan kepada kelebihan dan kekuatan negara kita, dan ini disokong oleh beberapa perjanjian di antara pelabur Jepun dan syarikat serta organisasi Malaysia,” katanya. – UTUSAN










