Malaysia dijangka kekal 1 Muharam pada 30 Julai

1 Muharam di Malaysia kekal 30 Julai

TANGKAP layar yang menunjukkan kiraan Taqwim Qamari Hijri Wujud al-Hilal dan Imka al-Rukyah bagi penetapan 1 Muharam 1444. - Ihsan Hanafiah Abdul Razak
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Umat Islam di negara ini dijangka kekal meraikan sambutan Tahun Baharu Hijrah 1444 pada 30 Julai dengan perubahan kalendar bermula sejurus azan Maghrib 29 Julai.

Perkara ini disahkan pakar falak terkenal tempatan, Hanafiah Abdul Razak yang turut mengakui ada tiga tarikh berbeza mengenai tarikh itu berdasarkan kaedah pengamalannya.

“Malaysia merupakan pengamal Taqwim Qamari Hijri Wujud al-Hilal dan Imka al-Rukyah yang meletak 1 Muharam 1444 pada hari Sabtu ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, tular dalam kalangan warganet meragui poster diterbitkan Sekretariat Sambutan Bulan Kemerdekaan mengenai pelancaran Bulan Kebangsaan 2022 di sini pada 30 Julai ini.

Acara akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu mencetuskan tanda tanya sama ada ia bertembung dengan sambutan Maal Hijrah pada tarikh yang sama.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagaimanapun mengesahkan program peringkat kebangsaan itu akan disambut pada Jumaat ini kerana takwim Hijrah bermula azan Maghrib.

Mengulas lanjut, Hanafiah yang juga panel rujukan falak Jakim berkata, ada negara Islam tertentu meraikan tahun baharu Hijrah itu seawal Jumaat ini selain ada pula terlewat pada Ahad.

“Pengamal Taqwim Qamari Hijri Istilahi meletak tarikh 1 Muharam pada 29 Julai manakala pengamal Taqwim Qamari Hijri bil Ru’yah pula meletakkan pada 31 Julai depan,” jelas beliau.

Sebaliknya ujar beliau, Malaysia yang bukan pun pengamal dua kaedah itu tetapi berdasarkan hisab atau kiraan yang mengesahkan hilal atau anak bulan Muharam lahir petang Jumaat.

Sehubungan itu katanya, pakar-pakar falak tanah air telah bersepakat, Zulhijjah 1443 Hijrah di Malaysia kali ini hanya ada sejumlah 29 hari dan tidak perlu lagi digenapkan kepada 30 hari.

Di Malaysia, perayaan Tahun Baharu Islam atau Maal Hijrah, menggantikan frasa lama Awal Muharram sejak 1987 bagi memupuk kesedaran umat Islam mengenai nilai tarikh berkenaan.

Ia dianggap sebagai cuti umum seluruh negara serta berbeza dengan Tahun Baharu Masihi pada 1 Januari yang bukan diraikan sebagai cuti di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Tahun lalu, sambutan diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah berkenan bagi menyampaikan titah perutusan secara maya dengan bekas Imam Besar Masjid Negara yang paling lama berkhidmat dan Hakim Tilawah Al-Quran, Tan Sri Syaikh Dr. Ismail Muhammad dipilih sebagai penerima Tokoh Maal Hijrah 1443/2021. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya