KUALA LUMPUR: Takaful Ikhlas Family Berhad (Takaful Ikhlas), anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad memeterai tiga memorandum persefahaman (MoU) bersama tiga entiti pekerja yang berdaftar di bawah Prasarana Malaysia Berhad.
Ia melibatkan Kesatuan Pekerja-Pekerja Rapid Bus Sdn. Bhd., Kesatuan Pekerja-Pekerja Rapid Rail Sdn. Bhd. dan Koperasi Pekerja Prasarana (M) Bhd.
Perjanjian ini menandakan pelantikan rasmi Takaful Ikhlas sebagai penyedia perlindungan takaful keluarga pilihan bagi ahli-ahli kesatuan dan koperasi berkenaan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Family Berhad, Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi berkata, ini sebahagian daripada strategi pihaknya dalam meningkatkan kadar penembusan perlindungan takaful terutamanya dalam kalangan golongan rentan dan B40.
“Golongan ini kebiasaannya lebih terbuka kepada penerimaan produk seperti perlindungan takaful sekiranya ia hadir daripada badan atau organisasi yang rapat dan mempunyai hubungan dengan mereka.
“Jadi kami cuba membentuk kerjasama dengan badan seperti koperasi dan kesatuan pekerja untuk menawarkan produk perlindungan takaful keluarga berkelompok seperti pelan Ikhlas Idaman ini, yang secara amnya menawarkan kadar premium rendah berbanding produk biasa yang tiga hingga empat kali lebih mahal,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian tersebut.
Menurut Wan Ahmad Najib, ketiga entiti pekerja di bawah Prasarana Malaysia itu mempunyai keanggotaan sehingga 5,000 orang.
“Koperasi Pekerja Prasarana pula menunjukkan penyertaan yang lebih besar dan bersifat dinamik bergantung kepada entiti yang terlibat.
“Apa yang menarik, penyertaan dalam skim serendah RM33 itu turut membenarkan ahli keluarga seperti isteri dan anak untuk dilindungi, meskipun terdapat pelan tertentu seperti Ikhlas Ilamat yang hanya ditawarkan kepada individu dan bukan kumpulan keluarga,” katanya.
Jelas Wan Ahmad Najib, selaras dengan komitmen Takaful Ikhlas untuk meningkatkan kesedaran dan kadar penembusan takaful dalam kalangan komuniti pekerja, pelan Ikhlas Idaman tampil dengan kelebihan tersendiri.
“Antara manfaat utama yang ditawarkan termasuk bayaran manfaat penuh secara serta-merta kepada waris bagi kematian atau hilang upaya menyeluruh dan kekal akibat sebab semula jadi atau kemalangan, satu ciri penting yang dapat meringankan beban kewangan segera kepada waris atau peserta yang terjejas,” katanya.
Dengan sokongan Takaful Ikhlas, ahli-ahli kesatuan kini mempunyai akses kepada perlindungan takaful berkualiti dan berpatutan, sejajar dengan keperluan mereka serta menyumbang ke arah peningkatan keseluruhan kesejahteraan komuniti pekerja.
Manfaat tambahan lain termasuk elaun harian hospital, perbelanjaan serta-merta kematian dan penyakit kritikal.
Pelan itu turut menyediakan Akaun Pelaburan Peribadi yang membolehkan pemegang sijil menerima manfaat matang atau membuat pengeluaran tunai separa selepas tempoh tertentu.
Pada majlis yang sama, Takaful Ikhlas turut menyampaikan tuntutan Ikhlas Idaman berjumlah keseluruhan RM109,110.88 kepada waris dua kakitangan Prasarana (M) Berhad.
Majlis menandatangani MoU disempurnakan oleh Wan Ahmad Najib bersama Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Rapid Bus, Mazri Anuar Sharifuddin; Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Rapid Rail, Zairul Rijaluddin dan Pengerusi Koperasi Pekerja Prasarana, Mazlan Abdullah. – UTUSAN










