Kali ini, biar betul-betul tegas

Kali ini, biar betul-betul tegas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kejadian pasti ada hikmahnya. Begitu juga dengan kemalangan bas persiaran yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun lalu di Gerik, Perak. Sebelum itu, pada 13 Mei lalu, sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terkorban dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dengan muatan batu.

Walaupun ada beberapa lagi kemalangan dengan jumlah mangsa yang tinggi tetapi hikmah dua kejadian terbaru ini membuka jalan kepada satu tindakan yang lebih berkesan dan tegas.

Mulai hari ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memulakan tindakan penguatkuasaan terhadap kende­raan komersial terutama bas ekspres dan bas persiaran yang diharap dapat mengelak daripada lebih banyak nyawa melayang pada masa depan.

Antara yang dikuatkuasakan ialah pemakaian tali pinggang keledar bagi semua penumpang bas ekspres dan bas persiaran, menyenarai hitam syarikat yang gagal melunaskan tunggakan saman dalam tempoh 14 hari dan menggantung atau membatalkan lesen syarikat pengendali kenderaan perdagangan yang gagal dalam pemeriksaan dan audit keselamatan JPJ.

Tumpuan wajar diberikan kepada audit keselamatan kerana banyak perlanggaran peraturan dan undang-undang dikesan. Berdasarkan audit yang dijalankan selama empat hari bermula 23 Jun lalu, 85 daripada 133 syarikat yang diperiksa atau 64 peratus gagal audit berkenaan.

Bayangkan, ada ratusan ribu buah bas dan lori didaftarkan di negara ini dan 64 peratus daripadanya gagal audit keselamatan. Ini bermakna risiko ketika kita berada di jalan raya sangat tinggi. Bila-bila masa sahaja kita boleh terlibat dalam kemalangan akibat kecuaian pihak lain.

Justeru, perkara seperti pemanduan tidak melebihi lapan jam sehari dan rehat pemandu 30 minit bagi setiap empat jam pemanduan mesti dikuatkuasakan tanpa gagal. Begitu juga dengan sistem pemantauan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) yang dapat mengesan kelajuan kenderaan mereka.

Begitu juga dengan isu saman. Bagaimana 11 syarikat lori yang ada hampir 46,000 saman tertunggak manakala 17 syarikat bas pula ada 5,352 saman tertunggak boleh dibenarkan terus beroperasi. Dianggarkan lebih 200,000 saman aktif melibatkan kenderaan komersial masih belum dilunaskan.

Tindakan terhadap syarikat tentunya lebih mudah dilakukan berbanding menguatkuasakan pemakaian tali pinggang keledar penumpang. Boleh wajibkan tali pinggang keledar tetapi disiplinkan pemandu lebih diperlukan. Sukar untuk membayangkan bagaimana bentuk penguatkuasaan terhadap pemakaian pinggang keledar penumpang. Adakah pihak berkuasa akan menyamar sebagai penumpang?

Pemandu hanya boleh mengingatkan penumpang dari semasa ke semasa tetapi sama ada penumpang mahu patuh atau tidak, itu soal lain. Sama seperti meminta penumpang belakang kereta (dibaca: anak-anak) memakai tali pinggang keledar sepanjang perjalanan balik kampung. Sangat payah walaupun undang-undang ini sudah dikuatkuasakan sejak 2009.

Apa yang diharapkan ialah kali ini biarkan tindakan itu benar-benar dilakukan, bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam seperti yang berlaku selama ini. Sudah banyak kali ‘janji’ diberikan untuk bertindak terhadap kenderaan komersial ini tetapi akhirnya semua kembali seperti sedia­kala sehinggalah berlaku lagi tragedi besar.

 

Ismail Daud adalah Timbalan Pengarang Utusan/Mingguan MalaysiaUTUSAN

×