JOHOR BAHRU: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan menjalin kerjasama rentas agensi dan jabatan dalam membantu meningkatkan pendapatan serta mengeluarkan golongan fakir miskin daripada kepompongan kemiskinan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, antara usaha dan kerjasama tersebut adalah dalam membangunkan tanah-tanah wakaf di bawah kendalian MAINJ dengan sektor pertanian dan penternakan.
“Penggunaan tanah-tanah wakaf ini akan mula diaktifkan. Tanah-tanah wakaf di bawah MAINJ akan digunakan sebagai platform untuk mereka bertani dan membuat kerja-kerja penternakan.
“Ini perkara agak baharu dan kita berani teroka peluang ini sebab kita percaya ada potensi besar. Ini juga pembaharuan terhadap kaedah sedia ada, tidak semata-mata beri mereka peralatan atau pun membuatkan mereka terbiasa dengan bantuan bulanan.
“Bantuan bulanan yang berterusan hanya memberi keselesaan kepada penerima-penerima kerana mereka terbiasa dibantu, tetapi tak boleh dibiarkan. Bahkan sebenarnya mereka ada kemampuan yang lebih besar daripada itu dan kita hargai kemampuan kelompok ini. Malah ini juga penghargaan terhadap bakat dan tenaga mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.
Menurutnya, bagi program berkenaan MAINJ akan bekerjasama dengan jabatan-jabatan yang berkaitan, terutamanya Jabatan Pertanian.
Mohd. Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah berkata, kertas cadangan tentang program tersebut dibawa dalam mesyuarat MAINJ dalam masa terdekat seterusnya diajukan kepada kerajaan negeri untuk kelulusan.
Beliau berkata, buat permulaan, seramai 1,000 peserta terlibat dalam program tersebut yang dilaksanakan secara berkelompok.
“Kita benarkan mereka berkumpulan, kita pantau dari segi urusan kewangan, pengoperasian dan semuanya akan dibuat secara teratur sebab kita tak nak gagal.
“Kita nak buat benda baik, kita buat betul-betul. Saya percaya kita mampu buat walaupun tidak dapat meliputi semua orang pada tahun pertama ini. Kita harap membuahkan hasil dan mampu mengurangkan kadar kemiskinan,” katanya.
Menurutnya, MAINJ juga bekerjasama dengan Agrobank yang bersetuju untuk memberikan pembiayaan bagi projek-projek pertanian dan penternakan yang dijalankan.
Mohd. Fared memberitahu, pada tahun ini, MAINJ menyediakan peruntukan hampir RM200 juta untuk membantu lebih 145,000 penerima termasuk golongan asnaf berbanding lebih RM171 juta pada tahun lalu melibatkan lebih 100,000 penerima.
Bantuan tersebut merangkumi empat teras, iaitu kebajikan, pendidikan, perumahan dan pembangunan asnaf.
INFO:
4 TERAS BANTUAN MAINJ 2022
1. Kebajikan: RM174 juta
2. Pendidikan: RM9.6 juta
3. Perumahan: RM5.59 juta
4. Pembangunan Asnaf: RM2.6 juta
BANTUAN BERDIKARI UNTUK ASNAF
1.Modal Niaga: RM3,000
2. Peralatan: RM5,000
Sumber: Majlis Agama Islam Negeri Johor – UTUSAN










