Lima negara dikenal pasti lokasi pengembangan francais tempatan - Utusan Malaysia

Lima negara dikenal pasti lokasi pengembangan francais tempatan

AZMAN Mohd. Yusof (tengah) bersama Norolazali Sulaiman (kiri) melawat pameran francaisor yang turut serta dalam siri Program Jelajah Francais Bay (PJFB) 2022 bagi Zon Timur di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Malaysia mengenal pasti lima negara dalam meneruskan usaha mengembangkan industri francais tempatan pada tahun ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Azman Mohd. Yusof berkata, usaha itu susulan penerimaan jenama francais tempatan yang dilihat semakin berkembang di luar negara.

Menurutnya, misi pengembangan pembangunan francais telah dilaksanakan di Jeddah, Bosnia dan Johannesburg serta akan diteruskan ke Jakarta dan Filipina.

“Program ini dilaksanakan bersama Malaysia Franchise Association (MFA). Fokusnya untuk membawa jenama francais tempatan yang bertaraf antarabangsa menembusi pasaran negara luar.

“Dengan mempunyai sijil pengesahan dan logo halal antara faktor perniagaan keluaran francaisor tempatan diterima baik di luar negara.

“Penerimaan ini juga berdasarkan kualiti yang berjaya ditonjolkan dan standard produk Malaysia berjaya mematuhi piawaian kebersihan dan peraturan yang ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar pada Program Jelajah Francais Bay (PJFB) 2022 bagi Zon Pantai Timur, di ruang legar Kuantan City Mall (KCM) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Norolazali Sulaiman.

Dalam pada itu, Azman berkata, program yang melibatkan penyertaan usahawan di ekspo dan pameran di peringkat antarabangsa tersebut antara inisiatif utama kerajaan.

“Melalui inisiatif itu dijangka dapat membantu mempromosikan perniagaan usahawan di negara ini. Dalam masa sama, kejayaan itu nanti dapat menyumbang pengukuhan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Azman berkata, KPDNHEP dan kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurangnya 30 potensi francais dengan jangkaan nilai potensi pelaburan sebanyak RM7.5 juta melalui PJFB kali ini yang merangkumi Zon Pantai Timur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN