PETALING JAYA: Lelaki warga asing dipercayai dibunuh selepas terlibat dalam pergaduhan di hadapan sebuah rumah di Jalan AU2A/14 Taman Keramat, Hulu Kelang di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihak polis menerima panggilan MERS 999 kira-kira pukul 10.36 malam dari orang awam yang mengatakan ada pergaduhan di hadapan sebuah rumah.
Menurutnya, polis yang ke lokasi kejadian mendapati seorang lelaki dipercayai warga asing ditemukan terbaring berlumuran darah di lokasi.
“Pihak ambulans membuat pemeriksaan dan mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Butiran mangsa masih lagi dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, siasatan masih lagi berjalan dan motif masih belum dikenalpasti
“Orang ramai yang mengetahui kejadian diminta tampil untuk memberi kerjasama dalam membantu siasatan kes ini,” katanya.- UTUSAN










