Lelaki ditahan bersama dadah hampir RM1 juta - Utusan Malaysia

Lelaki ditahan bersama dadah hampir RM1 juta

MIOR Faridalathrash Wahid (dua dari kiri) menunjukkan dadah jenis heroin dan methamphetamine yang dirampas dalam serbuan di daerah Manjung pada Isnin lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis menahan seorang lelaki dan merampas 9.7 kilogram (kg) dadah jenis heroin dan methamphetamine dalam serbuan di dua buah rumah di Changkat Kruing, Pantai Remis kelmarin.

Suspek berusia 56 tahun itu ditahan pada pukul 10 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pemeriksaan di rumah pertama menemukan dua peket plastik masing-masing berisi dadah disyaki heroin seberat 2.06 gram dan 1.16 gram dadah jenis methamphetamine.

Katanya, pemeriksaan yang dilakukan dalam sebuah kereta di lokasi serbuan turut menemukan tiga peket plastik mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 2.7kg.

“Pemeriksaan susulan di sebuah rumah di kawasan berhampiran menemukan plastik hitam mengandungi tujuh plastik hijau ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 6.9kg.

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah RM970,098.10,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Dewan Serbaguna Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini hari ini.

Menurut beliau, suspek dipercayai aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sejak enam bulan lalu dan mengedar bahan terlarang itu di daerah Manjung dan kawasan sekitar.

Katanya, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh digunakan untuk 100,000 penagih dadah.

“Berdasarkan keputusan ujian saringan air kencing, suspek yang mempunyai empat rekod jenayah lampau bersabit kes narkotik itu positif dadah jenis morfin. Suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga Isnin ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan 1952,” katanya.

Tambah beliau, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 apabila menyita sebuah motosikal bernilai RM3,500. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN