Lelaki dilapor hilang 10 bulan lalu ditemukan dalam sungai

Lelaki dilapor hilang 10 bulan ditemukan dalam sungai

ANGGOTA bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Nenasi dan Pekan berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang dipercayai hilang Oktober tahun lalu yang ditemukan dalam sungai berhampiran jambatan Sungai Api Api di Pekan, Pahang. - IHSAN JBPM PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sekitar Oktober tahun lalu ditemukan bersama kereta Nissan Grand Livina dipandunya dalam sungai berhampiran Jambatan Sungai Api Api, Jalan Pekan-Nenasi-Rompin, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang pekerja am ladang yang ternampak bumbung kereta dalam sungai itu sekitar pukul 11.39 pagi. 

Katanya, hasil aduan tersebut, sepasukan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan dan bomba Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Nenasi dan Pekan  ke lokasi kejadian untuk siasatan dan operasi menyelamat. 

“Menurut pengadu, dia ternampak satu objek seperti bumbung kereta berada dalam sungai ketika hendak membuang sebatang besi yang ditemukan di atas jalan ke dalam sungai lalu bertindak menghubungi Balai Polis Nenasi.

“Setakat siasatan dibuat polis mendapati tiada unsur jenayah berlaku di tempat kejadian. Usaha untuk mengeluarkan kenderaan tersebut dilakukan dengan menggunakan jengkaut dan lori penunda,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Mohd. Zaidi berkata, kenderaan tersebut dapat dikeluarkan dari sungai pada sekitar pukul 4.40 petang  dan dibawa ke tepi jalan utama. 

“Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan tersebut, telah menemukan satu rangka mayat yang diselaputi lumpur sungai, selain itu dijumpai pas pekerja syarikat Oil & Gas Safety Passport (OGSP) atas nama Iman Aqmar dan kad CIDB atas nama Muhammad Iman Aqmar.

“Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan terbabit yang diselaputi lumpur pula mendapati ia merupakan kereta jenis Grand Livina yang mengalami kerosakan di bahagian hadapan, kiri dan kanan,” katanya.

Katanya lagi, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan bagi tujuan bedah siasat dan kenderaan dibawa ke IPD Pekan bagi tujuan siasatan lanjut.

“Siasatan ke atas pemilik kenderaan mendapati terdapat dua laporan polis dibuat pemilik berkait Pasir Gudang, Johor, pada 30 Oktober 2021 dan 2 Jun lalu. 

“Kedua-dua laporan polis tersebut berkaitan kehilangan anak lelaki pemilik bernama Iman Aqmar Dzulkarnain, berusia 25 tahun bersama kenderaan Grand Livina dipandu mangsa,” katanya.

Mohd. Zaidi juga berkata, berdasarkan laporan yang dibuat juga, pemilik mengatakan anak lelakinya telah keluar rumah 29 Oktober tahun lalu sekitar pukul 1 pagi dari rumahnya di Pasir Gudang, Johor, menaiki kereta Grand Livina terbabit. 

“Dari laporan berkenaan, ibu mangsa gagal menghubungi anaknya pada 30 Oktober 2021 dan tidak diketahui keberadaan anaknya,” ujarnya.

Ekoran penemuan itu, polis telah bertindak menghubungi pemilik kenderaan terbabit dan telah diminta untuk hadir ke IPD Pekan bagi tujuan pengecaman ke atas kenderaan, pakaian serta dokumen yang dijumpai bersama mangsa.

“Bedah siasat akan dilakukan oleh Patalogi HTAA dan spesimen si mati akan dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan pengesahan identiti si mati.

“Pihak Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang telah dihubungi bagi tujuan siasatan terperinci terhadap kenderaan yang dijumpai,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya