Lebih 45% populasi Johor adalah belia - Utusan Malaysia

Lebih 45% populasi Johor adalah belia

MOHD. UZIR MAHIDIN (tengah) melihat buku Statistik Subnasional Parlimen dan DUN selepas menyampaikan taklimat pada Penemuan Subnasional Parlimen dan DUN, Banci Penduduk & Perumahan Johor serta Prestasi Ekonomi Johor 2021 di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Hampir separuh daripada populasi penduduk negeri ini golongan muda atau belia, iaitu 45.1 peratus daripada keseluruhan lebih empat juta penduduk, tahun lalu. 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan angka golongan muda itu bakal menjadi sumber pertumbuhan ekonomi pada tahun-tahun mendatang.

Menurut beliau, pertumbuhan ekonomi yang direkodkan pada kadar 2.4 peratus pada 2021 dijangka lebih tinggi dengan sumbangan kadar perbelanjaan dan pendapatan dalam kalangan golongan muda itu. 

“Daerah Johor Bahru merupakan tempat tumpuan utama yang menawarkan peluang pekerjaan bagi golongan ini, terutamanya dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan. 

“Sektor perkhidmatan menyediakan pekerjaan sebanyak 60 peratus kepada penduduk bekerja di Johor, manakala sektor pembuatan menyumbang 24.1 peratus pada tahun 2021,” katanya selepas menyampaikan taklimat pada Penemuan Subnasional Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), Banci Penduduk & Perumahan Johor serta Prestasi Ekonomi Johor 2021 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini. 

Daripada lebih 1.8 juta belia di negeri ini, 41 peratus daripada berada di Johor Bahru, manakala 12.7 peratus di Batu Pahat. 

Mohd. Uzir berkata, majoriti belia yang bekerja menggunakan kelayakan pendidikan menengah adalah 60.6 peratus diikuti pekerja dengan pendidikan tertiari adalah sebanyak 31.7 peratus.

“Kadar penyertaan tenaga buruh dalam kalangan siswazah juga dijangka mencatatkan perkembangan positif apabila meningkat sebanyak 85.3 peratus pada tahun 2020 berbanding 84.2 peratus tahun sebelumnya,” katanya. 

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, DUN Senai merekodkan peratus umur bekerja (15 hingga 64 tahun) tertinggi, iaitu 80.1 peratus, diikuti DUN Parit Raja 79.1 peratus, Bukit Naning 76.1 peratus dan Bukit Pasir 75.2 peratus. 

“Nisbah tanggungan yang tertinggi antara DUN pula dicatatkan di DUN Rengit 55.5 peratus, Sedili 53.6 peratus dan di Johor Lama 52.9 peratus.

“Komposisi penduduk umur tua iaitu 65 tahun dan lebih di Johor adalah 6.1 peratus, iaitu lebih rendah berbanding nasional pada 6.8 peratus,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya