Laporan 1MDB: Saksi akhir alami pendarahan usus

Laporan 1MDB: Saksi akhir alami pendarahan usus

NAJIB Tun Razak keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes pindaan laporan audit 1MDB dihadapinya. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi mengelakkan dirinya dikenakan sebarang tindakan undang-undang, ditangguhkan kepada 12 Ogos ini selepas pegawai penyiasat yang sepatutnya memberi keterangan hari ini tidak sihat.

Timbalan Pendakwa Raya adhoc, Datuk Seri Gopal Sri Ram memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan bahawa Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Haniff Lami mengalami pendarahan usus.

“Saksi terakhir saya, Hanif mengalami pendarahan usus dan perkara itu hanya dimaklumkan kepada kami lewat petang semalam. Dia telah diberikan cuti sakit selama dua hari.

“Kami cuba membuat persediaan agar saksi boleh memberi keterangan secara Zoom tetapi tidak dapat dilakukan kerana kesuntukan masa. Bagaimanapun saksi dijangka boleh beri keterangan pada 12 Ogos ini,” katanya.

Pada prosiding hari ini, Najib hadir dan diwakili peguam bela, Rahmat Hadzlan.

Sementara itu, kehadiran bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Arul Kanda Kandasamy yang didakwa bersubahat dengan Najib melakukan pindaan laporan audit itu dikecualikan oleh mahkamah hari ini selepas Sri Ram memaklumkan terdapat salah faham mengenai tarikh perbicaraan.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu juga memaklumkan, pada peringkat ini, Arul Kanda masih lagi seorang tertuduh sehingga diberikan sijil indemniti oleh mahkamah.

Berdasarkan Seksyen 63(3) Akta SPRM 2009, mana-mana tertuduh yang telah memberi keterangan terhadap tertuduh yang lain dalam kes yang sama boleh diberikan sijil indemniti sekira Mahkamah mendapati dia telah memberikan yang benar.

Sijil tersebut akan menghalang tertuduh yang telah memberi keterangan terhadap tertuduh lain dikenakan sebarang tindakan undang-undang dalam kes yang sama.

Pada 24 Jun lalu, Arul Kanda mula memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-15 selepas Hakim Mohamed Zaini membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang menghujahkan bahawa bekas CEO itu merupakan saksi yang relevan dalam perbicaraan kes itu.

Pada tarikh tersebut, Arul Kanda telah keterangan berhubung mesyuarat yang berlaku pada 24 Februari 2016 yang mana pada mesyuarat itu dikatakan Najib telah meminta beberapa perkara digugurkan daripada laporan audit 1MDB.

Antara empat perkara yang diarahkan Najib untuk digugurkan adalah mengenai kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau Low Taek Jho dalam mesyuarat 1MDB dan dua versi laporan kewangan 2014 syarikat itu yang bercanggah.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya