Kesedaran larangan merokok di premis makanan masih rendah - Utusan Malaysia

Kesedaran larangan merokok di premis makanan masih rendah

DR. AMAN Rabu (dua kanan) menunjukkan puntung rokok yang bersepah di sebuah premis makanan di Johor Bahru, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kesedaran golongan perokok supaya tidak melepaskan ‘gian’ di premis makanan di negeri ini masih berada pada tahap rendah.

Tabiat buruk itu dibuktikan dalam operasi bersepadu dijalankan Jabatan Kesihatan serentak di seluruh negeri ini apabila sebanyak 62 kompaun berjumlah RM15,500 dikeluarkan.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Aman Rabu berkata, semua kompaun tersebut dikeluarkan atas kesalahan merokok di premis makanan mengikut Peraturan 11(1)(d) Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

“Kesedaran tentang larangan ini masih tidak memuaskan hati. Jika tengok di premis makanan, masih ada lagi orang yang merokok dengan kotak rokok di atas meja, puntung rokok bersepah di bawah meja, kita rasa kesedaran itu masih kurang.

“Jadi, kita akan cuba tingkat kesedaran dan harap ahli keluarga atau sahabat kepada perokok boleh bersama-sama bantu dan beri kesedaran kepada mereka. Namun, apa yang positifnya, mereka yang dikompaun patuh dan itu menunjukkan mereka tahu perbuatan berkenaan adalah salah di sisi undang-undang,” katanya selepas mengetuai Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 di beberapa premis makanan di sekitar bandar raya ini, malam tadi.

Operasi bersepadu dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dilaksanakan secara serentak di seluruh negeri bermula pukul 8.30 malam hingga 3 pagi ini.

Dalam operasi terbabit, sebanyak 125 premis diperiksa dan sebanyak 143 notis kesalahan dikeluarkan terhadap pelbagai kesalahan yang membabitkan keseluruhan kompaun berjumlah RM47,750.

Selain 62 kompaun atas kesalahan merokok di premis makanan, sebanyak 28 notis atas kesalahan menjual atau menawarkan untuk jualan apa-apa rokok di bawah harga minimum dengan kompaun berjumlah RM14,000 turut dikenakan.

“Kita juga mengeluarkan tujuh notis atas kesalahan menjual atau menawarkan untuk jualan apa-apa hasil tembakau dengan harga jualan runcit yang tidak diluluskan mengikut Peraturan 8A(5A) yang jumlah kompaun dikenakan sebanyak RM3,500. Selain itu, pelbagai jenama rokok batang dianggarkan bernilai RM47,750 turut dirampas atas perlanggaran pelbagai kesalahan mengikut PPKHT 2004,” jelasnya.

Menurutnya, sejak awal tahun ini hingga 13 Julai lalu, sebanyak 2,515 notis kesalahan telah dikeluarkan dengan kompaun berjumlah RM628,750 dan daripada jumlah itu, sebanyak 1,983 notis membabitkan kesalahan merokok di kawasan larangan, 155 notis kesalahan di bawah Peraturan 13(1) kepada Orang Belum Dewasa (OBD) yang merokok, 137 notis kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok di premis dan 71 notis di bawah Peraturan 8C(1) kerana menjual rokok di bawah harga minimum.

Sekiranya gagal membayar kompaun yang dikenakan, tindakan mahkamah akan diambil dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, katanya sambil berharap sasaran negara bebas rokok pada 2040 dapat dicapai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN