Kemalangan di Tambak Johor, pemandu lori didakwa - Utusan Malaysia

Kemalangan di Tambak Johor, pemandu lori didakwa

Amir Hasan Jalani dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk berdepan pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan di Tambak Johor.- UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru, di sini hari ini atas pertuduhan memandu melulu sehingga menyebabkan kemalangan di Tambak Johor pada 7 Julai lalu.

 Amir Hasan Jalani, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Zuhainie Zull Kafli.

Mengikut pertuduhan,  Amir  Hasan didakwa di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak melebihi RM15,000, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian pada pukul 9.25 pagi itu, sebanyak 11 buah kenderaan terlibat.

Sementara itu, di mahkamah sama syarikat Level Hill Auto Parts Sdn. Bhd., menerusi wakilnya, Yap Shee Min, 34, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melanggar syarat lesen pengendali lori kerana membawa lebih muatan.

Lori dipandu Amir Hasan itu didapati membawa muatan  91,240 kilogram (kg) berbanding 41,000kg yang dibenarkan.

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 57(1)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd. Yunos, manakala Amir Hasan dan syarikat itu diwakili peguam bela, Bustamam Menon Abdul Hamid Menon.

Zuhainie membenarkan Amir Hasan dan Shee Min, masing-masing diikat jamin RM4,000 dan RM3,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 5 September ini sebagai sebutan semula bagi kedua-dua kes berkenaan.

Pada 7 Julai lalu, lori membawa muatan habuk batu itu dipercayai hilang kawalan kerana mengalami kerosakan teknikal di bahagian brek dan merempuh 11 kenderaan di Tambak Johor.

Bagaimanapun, kemalangan itu tidak menyebabkan kecederaan dan ujian air kencing terhadap pemandu lori itu negatif dadah.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN