Keluhan Muhd. Hanif dapat maklum balas segera SPNB

Keluhan Muhd. Hanif dapat maklum balas segera SPNB

MOHD. Nizar Zakaria (tiga dari kanan) menyerahkan inden kepada wakil kontraktor baharu yang dilantik bagi membina sebuah unit RMR di Kampung Tarun, Lenggeng, Seremban, petang tadi.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Susulan laporan Utusan Malaysia hari ini berkenaan seorang pemohon projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang kecewa apabila rumahnya masih belum dibina walaupun kelulusan telah diberi sejak setahun lalu, telah mendapat maklum balas segera oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Ia apabila Pengerusi SPNB, Datuk Mohd. Nizar Zakaria turut turun padang untuk melihat sendiri lokasi projek rumah yang bermasalah tersebut yang terletak di  Kampung Tarun, Lenggeng di sini petang tadi.

Mohd. Nizar berkata, memang berlaku kelewatan kepada projek rumah milik Muhd. Hanif Lewa, 34, tersebut dan ia berpunca dari kontraktor yang dilantik untuk melaksanakan pembinaan telah gagal untuk meneruskan kerja-kerja pembinaan atas kekangan harga bahan binaan yang tinggi dan masalah pekerja.

“Alhamdulillah, hari ini saya juga turun melihat permasalahan yang berlaku, persetujuan telah telah dibuat di antara pemohon dan SPNB berkaitan penyelarasan saiz bagi pembinaan unit ini dan ia telahpun diselesaikan.

“Pihak SPNB telah menamatkan pelantikan kontraktor lama pada 30 Jun lalu dan untuk memastikan kerja-kerja pembinaan dapat dilaksanakan dengan segera, kontraktor baharu telah dilantik untuk melaksanakan pembinaan unit RMR bagi pemohon tersebut.  

“Hari ini kami serahkan inden (kontrak) kepada kontraktor baharu untuk mereka selesaikan dan pada 27 Julai ini kerja-kerja di tapak akan dimulakan,” katanya kepada pemberita di Kampung Tarun, Lenggeng di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan keluhan Muhd. Hanif yang tertanya-tanya bilakah unit RMR miliknya yang diterima kelulusan sejak bulan September tahun lalu akan dimulakan pembinaannya di atas tapak tanah milik bapanya itu.

Dia memberitahu telah menelefon cawangan pejabat SPNB di sini, dimaklumkan bahawa rumahnya masih belum dapat dibina kerana ketiadaan kontraktor untuk melaksanakan projek berkenaan.

Muhd. Hanif dalam pada itu memberitahu, bahawa dia sangat lega dan gembira apabila keluhannya itu mendapat perhatian segera.

“Saya memahami masalah dan kekangan yang dihadapi oleh pihak SPNB namun tindakan segera mereka sangat mengembirakan. Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu saya dalam urusan ini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya