jual dalam talian

Kegiatan jual minyak masak dalam talian tumpas

KPDNHEP menyerbu premis menjual minyak masak bersubsidi di dua premis di Petaling Jaya dan Puchong, Selangor. - IHSAN KPDNHEP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menumpaskan kegiatan penjualan minyak masak secara dalam talian melalui platform e-dagang terkenal selepas menyerbu dua premis di Petaling Jaya dan Puchong, Selangor pada Jumaat lalu.

Pengarah Penguatkuasanya, Azman Adam berkata, serbuan dengan kekuatan tujuh anggota penguat kuasa KPDNHEP Selangor itu hasil aduan daripada orang awam.

Menurutnya, sejumlah 255 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi dianggarkan bernilai RM637.50 dan 27 unit minyak masak botol sekilogram, 2 kg dan 3 kg berjumlah RM858 berjaya disita.

Jelas beliau, premis yang diserbu di Petaling Jaya adalah kediaman yang disewa untuk dijadikan stor penyimpanan dan pembungkusan barang-barang runcit yang dijual secara dalam talian, manakala di Puchong pula melibatkan sebuah rumah kedai yang dijadikan stor penyimpanan.

“Serbuan ke atas premis di Petaling Jaya berjaya menemukan sejumlah 255 kg minyak masak paket bersubsidi bersama beberapa jenis barangan runcit lain yang disimpan di dalam premis terbabit sebelum dijual atau diedar kepada pelanggan secara dalam talian selain merampas beberapa dokumen perniagaan lain untuk siasatan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati hanya barang kawalan minyak masak paket satu kilogram sahaja ditemukan dan premis gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 daripada pengawal bekalan untuk berurus niaga dengan barang kawalan berjadual itu,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Azman berkata, hasil maklumat yang diperoleh, minyak masak paket tersebut dijual pada harga RM2.50 satu kg dan seorang lelaki warga tempatan yang mengaku sebagai pembantu premis turut direkodkan keterangan bagi membantu siasatan.

Katanya, pemeriksaan di Puchong pula berjaya menemukan sejumlah minyak masak kemasan botol sekilogram, 2 kg dan 3 kg di dalam premis.

Tambah beliau, premis berkenaan telah mengemukakan lesen runcit di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang masih sah tempoh, namun alamat didaftarkan dalam lesen didapati berbeza daripada alamat premis yang menyimpan barang-barang kawalan itu.

“Seorang wanita warga tempatan yang mengaku sebagai penyelia premis direkodkan keterangan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menyimpan barang yang dikawal selain daripada premis yang dilesenkan.

“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut terhadap kedua-dua kes berkenaan akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti rantaian pengedaran minyak masak terbabit termasuk maklumat daripada mana bekalan minyak masak itu diperolehi,” ujarnya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya