MELAKA: Bergelar orang kurang upaya (OKU) kerana penyakit tulang rapuh tidak menghalang murid berkeperluan khas, Saufiyyah Naailah Nor Akmal, 7, muncul juara Kategori PH (fizikal) Hafazan Terbuka Rendah pada Karnival Mahabbah Pendidikan Khas Peringkat Negeri di Baitul Tariq, Klebang Permai di sini, Khamis lalu.
Murid tahun satu dari Sekolah Kebangsaan (SK) Serkam Darat, Jasin itu mencuri tumpuan dinobatkan selaku johan, sekali gus melayakkannya mewakili Melaka pada Karnival E-Mahabbah Peringkat Kebangsaan di Perlis secara dalam talian dari 16 hingga 19 Ogos ini.
Ketika ditemui Mingguan Malaysia, ibunya, Zurah Abu, 40, yang juga seorang pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jasin berkata, kejayaan itu sangat membanggakan walaupun anaknya menghidap osteogenesis imperfecta (OI) dan terpaksa menggunakan kerusi roda sepanjang hayatnya.
“Walaupun anak saya tidak seperti kanak-kanak seusia dengannya, namun ini satu anugerah yang Allah berikan kepada saya. Seorang anak yang boleh menghafal banyak surah terutama surah Yasin dengan lancar.
“Saya dan suami, Nor Akmal Jamil tidak pernah berasa menyesal dianugerahkan anak syurga malah kami menjaganya dengan penuh kasih sayang tanpa mengasingkan Saufiyyah Naailah dengan dua lagi anak yang lain,” katanya.
Saufiyyah Naailah anak bongsu daripada tiga beradik itu merupakan salah seorang daripada 328 peserta peringkat sekolah menengah dan sekolah rendah pendidikan khas yang menyertai sembilan acara dipertandingkan sepanjang dua hari karnival berlangsung.
Zurah menambah, ketika anaknya itu memasuki darjah satu, dia tidak seperti murid-murid lain kerana hanya dapat bersekolah untuk tempoh dua jam setiap hari.
Katanya, ini kerana tulang anaknya sangat rapuh dan mudah keletihan.
“Justeru di sekolah, dia turut disediakan katil dalam bilik darjah kerana tidak boleh duduk terlalu lama di kerusi roda dan bimbang kecederaan patah tulang akan berulang,” jelasnya. – UTUSAN










