Menteri Besar Johor

Johor rancang pindah 54 perkampungan setinggan di JB

Onn Hafiz Ghazi (dua dari kiri) bergotong-royong membersihkan kawasan lorong belakang bangunan sempena Pelancaran Program Johor Bersih 100 Hari di pusat bandar raya Johor Bahru, hari ini. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri merancang memindahkan kira-kira 54 perkampungan setinggan di sekitar bandar raya ini membabitkan lebih 50,000 penduduk ke kawasan yang lebih terancang pada masa depan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, butiran bagi perkara tersebut sedang dibincangkan dan maklumat lanjut akan dimaklumkan kelak.

Walau bagaimanapun, perkara itu perlu kerjasama daripada beberapa pihak termasuk Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Pejabat Tanah.

“Kita memang sedang merancang untuk menempatkan semula kira-kira 54 perkampungan setinggan di bandar Johor Bahru ini ke lokasi yang lebih baik.

“Apa-apa isu yang hendak kita perjuangkan perlu kurangkan birokrasi dan tingkatkan kerjasama,” katanya selepas melancarkan Program Johor Bersih 100 Hari di Jalan Segget, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman.

Onn Hafiz berkata, perancangan untuk menempatkan semula perkampungan setinggan akan memberi kesan positif terhadap tahap kebersihan di kawasan Johor Bahru.

Antara penempatan setinggan yang dikenal pasti termasuk Kampung Melayu Pandan, Kangkar Tebrau, Plentong, Skudai Kiri, Kampung Sri Purnama dan Kampung Bakar Batu.

Majoriti daripada perkampungan setinggan berkenaan turut dihuni warga asing yang menyumbang terhadap pencemaran di kawasan sekitar termasuk di Sungai Tebrau.

Sementara itu, Onn Hafiz turut memaklumkan kerajaan negeri sedang mempertimbang untuk memberi peruntukan kepada pemilik bangunan di sekitar pusat bandar raya Johor Bahru bagi tujuan pembersihan dan keceriaan bangunan sedia ada.

“Kita sedang bincangkan, tetapi pemilik bangunan seharusnya mempunyai inisiatif sendiri untuk membersihkan kawasan sekitar dan  melakukan kerja-kerja menceritakan premis mereka,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu MBJB sedang dalam perancangan untuk menyediakan sebuah pusat penempatan baharu untuk memastikan tiada lagi golongan gelandangan ‘menghuni’ jalan-jalan di sekitar bandar raya berkenaan.

Mohd. Noorazam pula memberitahu, pihaknya menganggarkan masih terdapat kira-kira 80 gelandangan yang berada di bandar raya ini pada satu-satu masa. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN