‘Jika dulu merungut warga asing monopoli kerja, kini masa bukti kemampuan’ - Zuhairi - Utusan Malaysia

‘Jika dulu merungut warga asing monopoli kerja, kini masa bukti kemampuan’ – Zuhairi

SEKTOR perladangan khususnya kelapa sawit paling terjejas dengan ketiadaan pekerja asing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sudah tiba masanya rakyat negara ini khususnya yang sedang mencari kerja mengisi kekosongan pekerjaan yang dahulunya dimonopoli warga asing.

Jika rakyat khususnya anak muda merebut peluang itu, maka secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan negara selama ini kepada tenaga asing.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka), Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, ini masanya untuk rakyat negara ini yang dahulunya merungut warga asing memonopoli pekerjaan merebut peluang ditinggalkan mereka.

“Ini masa juga untuk kita buktikan kemampuan rakyat negara ini mampu melakukan kerja-kerja yang sebelum ini dilakukan oleh pekerja asing.

“Dari situ juga kita akan dapat lihat adakah rakyat negara ini hanya pandai merungut sahaja, tidak pandai bekerja atau malas bekerja.

“Kita kena buktikan yang kita mampu, juga kepada majikan yang selama ini merungut rakyat negara ini tidak mampu melaksanakan kerja-kerja dilakukan pekerja asing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jumaat lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Indonesia tidak kisah jika Malaysia membuat keputusan membatalkan memorandum persefahaman (MoU) pengambilan pekerja dari negara itu yang dimeterai 1 April lalu.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono mengumumkan pembekuan sementara kemasukan semua pekerja Malaysia berkuat kuasa serta-merta selepas mesyuarat bersama pegawai kementerian luar dan kementerian tenaga kerja negara itu.

Keputusan itu dibuat setelah saluran sistem saluran tunggal yang dipersetujui dalam MoU terkesan dengan sistem MOS yang masih membenarkan pekerja Indonesia memasuki negara ini menggunakan visa pelancong sebelum memohon permit kerja.

Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, saat negara dan dunia sedang berdepan krisis ekonomi global, ini peluang terbaik rakyat merebut peluang-peluang pekerjaan yang ditinggalkan oleh pekerja asing.

“Buktikan bahawa rakyat negara ini mampu buat kerja, sama hebat dan kualiti dengan warga asing.

“Kita mahu selepas ini tiada lagi komen-komen negatif dari majikan orang kita malas dan tidak mampu bekerja dengan sempurna.

“Jika ini dapat dilakukan, tentukan selepas ini majikan-majikan akan menerima rakyat ini bekerja dalam sektor yang sebelum ini dimonopoli oleh pekerja asing,” katanya.

Zuhairi berkata, jika kemampuan itu dibuktikan, ia dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing dan seterusnya memberikan keutamaan terhadap pekerja tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya