Perdana Menteri Australia diberi sambutan rasmi negara

Perdana Menteri Australia diberi sambutan rasmi negara

ANWAR Ibrahim bersalaman dengan Anthony Albanese ketika kunjungan rasmi Perdana Menteri Australia ke Malaysia di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese diberikan sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra di sini pagi ini sempena lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia.

Ketibaan Albanese pada pukul 9.56 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Albanese kemudian memeriksa pasukan kawalan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, diketuai oleh Mejar Muhammad Firdaus Mat Hayin.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta lain-lain jemaah menteri.

Albanese kemudiannya menandatangani buku pelawat sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan Anwar.

Satu Kenyataan Bersama mengenai Jaminan Bekalan Tenaga juga dijangka dikeluarkan susulan pertemuan tersebut.

Selain perbincangan mengenai hubungan dua hala, termasuk perdagangan, pelaburan serta kerjasama dalam bidang tenaga boleh baharu dan teknologi hijau, kedua-dua Perdana Menteri menyentuh perkembangan konflik di Asia Barat dan kesannya terhadap krisis tenaga global, termasuk implikasi langsung kepada Malaysia dan Australia.

Kedua-dua pemimpin dijangka akan mempergiat usaha diplomatik bagi meredakan ketegangan, di samping memastikan kelangsungan laluan perdagangan antarabangsa serta kestabilan rantaian bekalan tenaga yang penting kepada kesejahteraan rakyat.

Kedua-dua pemimpin juga dijangka menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Strategik dalam sektor daging merah halal antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Australia, yang masing-masing diwakili oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Department of Agriculture, Fisheries and Forestry Australia (DAFF).

Australia kekal sebagai rakan dagang penting kepada Malaysia. Pada tahun 2025, Malaysia dan Australia masing-masing merupakan rakan dagang ke-12 terbesar antara satu sama lain.

Jumlah nilai dagangan dua hala pada tahun 2025 mencecah RM78.63 bilion (AS$18.38 bilion), dengan nilai eksport sebanyak RM48.64 bilion (AS$11.37 bilion) dan import sebanyak RM29.99 bilion (AS$7 bilion).

Malaysia dan Australia telah meningkatkan hubungan dua hala kepada Rakan Strategik Komprehensif (CSP) pada tahun 2021, yang menyediakan kerangka untuk meneroka bidang kerjasama baharu di bawah tiga tonggak utama CSP, iaitu kemakmuran ekonomi, masyarakat dan teknologi, serta pertahanan dan keselamatan serantau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN