KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu berhenti ‘mendesak’ Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung jawatan kedua tertinggi kerajaan yang dikatakan sepatutnya diberikan kepada parti itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Senator Datuk Razali Idris berkata, ini kerana kuasa melantik Timbalan Perdana Menteri adalah hak Ismail Sabri dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Cukuplah, jangan desak lagi. Kita serah kepada Perdana Menteri untuk buat keputusan. Akhirnya, keputusan di tangan beliau. Kalau dia rasa perlu wujudkan jawatan timbalan perdana menteri, terpulang.
Kalau rasa tidak wujud, tidak akan jadi rusuhan pun, jangan risau.
“Sebab rakyat melihat kita terlampau mendesak, gaduh sana sini untuk satu jawatan, memalukan.
Jangan nampak sangat yang Bersatu ni macam pelahap sangat dengan jawatan tersebut,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Kelmarin, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan bahawa beliau terlibat dalam penyediaan draf Memorandum Perjanjian (MoA) berkaitan jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Draf penjanjian
Menurut Takiyuddin, beliau menyediakan draf perjanjian tersebut atas kapasiti sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) ketika itu.
Pengesahan itu berikutan pendedahan yang dibuat Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya merujuk kepada Takiyuddin yang didakwanya sebagai ‘draftman’ atau individu bertanggungjawab menggubal draf mengenai kewujudan perjanjian antara Muhyiddin dan Ismail Sabri berkaitan jawatan Timbalan Perdana Menteri.
MoA itu juga dilapor antara lain turut menyentuh mengenai bilangan jawatan dalam Kabinet khususnya mengenai bilangan kuota setiap parti yang menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
Dalam pada itu, seorang lagi MPT Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Na’aman pula berkata, Perdana Menteri perlu menghormati MoA yang diwujudkan meskipun ia adalah kuasa Ismail Sabri.
“Memang itu hak Perdana Menteri, tetapi kita mohon pertimbangan agar MoA itu dihormati. Sebab itulah yang membezakan seseorang pemimpin itu dengan pihak sebelum ini.
“Kita fikir atas dasar Perdana Menteri perlu ada pihak membantu sebab kita lihat matawang Malaysia nampak tak stabil, ekonomi masih belum stabil. Jadi watak Timbalan Perdana Menteri sedikit-sebanyak membantu dari segi tugas yang ada,” katanya.- UTUSAN











