KUALA LUMPUR: Wisma Putra harus tegas dalam isu pencerobohan China di ruang udara dan perairan Malaysia di Laut China Selatan yang jelas mencabul kedaulatan negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Yakub Arbi berkata, beliau bimbang dengan sikap diam diri kerajaan dalam isu tersebut meskipun perkara itu berlarutan sekian lama.
“Krisis ini tidak boleh di pandang remeh mahupun sikap berdiam diri kononnya untuk ‘menjaga hati’ segelintir pihak walaupun mencabul kepentingan dan kedaulatan negara.
“Ini tidak betul, semakin hari semakin risau saya dengan pendekatan China di ruang udara dan perairan kita di Laut China Selatan. Apakah kita semua tidak nampak?
“Sejak 2021 sudah ada laporan mendedahkan pesawat pejuang ‘Halimunan’ China, J-20 berlegar di ruang udara Laut China Timur dan Laut China Selatan untuk melakukan rondaan dan latihan rutin.
“Tindak tanduk ini sebenarnya boleh gugat perkapalan serta aktiviti nelayan. Nota bantahan perlu dilakukan melalui saluran diplomatik dengan segera,” katanya dalam kenyataan semalam.
Kata Yakub, Wisma Putra dan Kementerian Pertahanan perlu menggerakkan resolusi bagi mempertahankan kedaulatan negara khususnya keselamatan rakyat di Sabah dan Sarawak.
Beliau menegaskan siri pencerobohan ruang angkasa dan maritim Borneo serta Pantai Timur Semenanjung yang berlaku selepas pandemik Covid-19 seolah-oleh memberi gambaran kerajaan tiada pelan mitigasi dan pemulihan terhadap krisis yang membimbangkan.
“Apa yang berlaku antara tentera udara China dan tentera kita memberi peringatan kepada kita tentang kesiapsiagaan negara untuk situasi seumpama ini. Adakah ini tidak membimbangkan kita?
“Sebenarnya Malaysia tidak bersendirian dalam pertikaian ini. Filipina, Vietnam dan Brunei semuanya mempertikaikan secara rasmi dalam konflik Laut China Selatan. Adalah jelas pendirian negara-negara ASEAN terhadap tindakan tidak berintegriti tentera China.
“Semua negara besar seperti China, Rusia, Amerika Syarikat perlu faham dan tidak sesekali ambil kesempatan dengan mengadakan latihan ketenteraan di Laut China yang begitu jelas boleh mengundang provokasi, ancaman keselamatan akhirnya di lihat seperti Zon Perang.- UTUSAN










