KUALA LUMPUR: Semua ahli parti dalam Pakatan Harapan (PH) perlu akur dan patuh dengan keputusan Majlis Presiden dan bukannya membuat keputusan mengikut ‘kepala sendiri’.
Mengingatkan perkara itu, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, ini bagi mengelak wujud masalah dalam usaha PH mencari kata sepakat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Tidak ada maknanya kita berpecah dengan pembangkang lain, sebaliknya kita perlu berusaha mencari kata sepakat mengurangkan kemungkinan berlaku pertembungan banyak penjuru.
“Dalam hal ini, semua pihak perlu akur dan patuh dengan keputusan Majlis Presiden PH. Kalau ada mana-mana pihak yang nak supaya ikut kepala dia seorang, masalahlah,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Tanpa merujuk kepada sesiapa, Khalid berkata, peringatan awal perlu dibuat supaya tidak ada mana-mana pihak yang membuat kenyataan menjurus ke arah perpecahan pakatan itu.
Pasukan
Ditanya mengenai Rafizi Ramli yang dipilih sebagai Timbalan Presiden PKR baharu, Khalid percaya, beliau adalah seorang ahli pasukan yang mampu mengukuhkan parti berikutan pengalamannya membantu jentera pada PRU14.
“Begitulah harapan kita, sejauh mana kemampuannya itu, ia bergantung dengan apa yang berlaku. Sewaktu PRU14 pun, dia (Rafizi) telah memainkan peranan besar dalam memenangkan PH.
“Dan dia juga memahami betapa pentingnya mencapai kemenangan parti komponen dalam menyumbang kemenangan kepada PH,” kata Khalid.
Kongres Nasional PKR Ke-16 pada 17 Julai lalu menampilkan barisan kepimpinan baharu parti itu termasuk Rafizi manakala Nurul Izzah Anwar sebagai Naib Presiden yang dilantik.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan Rafizi bakal dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya berikutan pelantikannya mengetuai pasukan perang pilihan raya pada mesyuarat pertama Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR penggal 2022-2025.
Dalam pada itu, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng ketika dihubungi berkata, jika isu tertentu khususnya penggunaan logo PH boleh dibuat senada dengan DAP dan Amanah, sudah tentu ia mampu memantapkan lagi gabungan itu menghadapi PRU15.
“Kita kena tunggu dan lihat sebab kalau cakap sekarang tidak guna. Contohnya isu logo, saya dapat rasakan yang Rafizi tidak mahu gunakan logo PH, tetapi Anwar cenderung ke arah itu (guna logo PH).
“Jadi kalau mereka boleh buat kata sepakat tentang perkara itu, sama-sama gunakan logo PH, itu satu petanda yang cukup baik untuk PH. Kita kena tunggu keputusan akhir,” katanya.- UTUSAN










