Jambatan di Kampung Sungai Taling dijangka mula dibaiki hujung bulan ini

Jambatan mendap di Kampung Sungai Taling dijangka mula dibaiki hujung bulan ini

LAPORAN Utusan Online pada 1 Julai lalu mengenai penduduk Kampung Sungai Taling yang membaiki sendiri jambatan di kampung berkenaan yang mendap selepas berlakunya banjir besar pada penghujung tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Kerja-kerja pembaikan sebuah jambatan di Kampung Sungai Taling di sini yang mendap akibat banjir besar pada penghujung tahun lalu dijangka bermula pada hujung bulan ini.

Pegawai Daerah Jempol, Nawal Mohamed Amin berkata, kerajaan Negeri Sembilan telah meluluskan pembinaan baharu tiga buah jambatan yang terkesan di daerah ini akibat bencana yang berlaku itu termasuk jambatan di Sungai Taling.

“Bagi jambatan Sungai Taling peruntukan telah diluluskan pada 28 Jun lalu. Pada masa ini proses perolehan sedang dilaksanakan. Pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Jempol menjangkakan kerja-kerja pembaikan jambatan dimulakan di tapak pada hujung bulan Julai ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 1 Julai lalu, Utusan Online melaporkan, penduduk Kampung Sungai Taling di sini yang mengumpul sumbangan sesama mereka dan membaiki sebuah jambatan di kampung tersebut selepas tiada sebarang tindakan diambil pihak berwajib walaupun aduan telah dibuat.

Sementara itu jelas Nawal, berdasarkan rekod Pejabat Daerah dan Tanah Jempol, kerja-kerja penyelenggaraan jambatan tersebut telahpun dilaksanakan di bawah peruntukan Undi Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Malaysia (MARRIS) pada tahun lalu.

Jelas beliau, skop bagi kerja tersebut melibatkan penyelenggaraan tebing sungai dan perabot jalan dan Pejabat Daerah dan Tanah Jempol juga telah menambah baik permukaan jambatan akibat serpihan premix lama yang tidak rata.

Bagaimanapun, struktur jambatan tersebut telah mendap akibat banjir besar yang melanda beberapa kawasan di daerah ini pada 31 Disember tahun lalu sehingga awal Januari tahun ini .

Tambahnya, keadaan menjadi bertambah buruk akibat lori lebih muatan yang menggunakan jambatan tersebut sebagai jalan pintas.

“Saiz jambatan tersebut adalah berukuran 16 meter dengan kelebaran 3.4  meter. Hasil perbincangan bersama pihak JPS didapati pembaikan ke atas jambatan tersebut adalah tidak sesuai memandangkan struktur utama jambatan hampir 60 hingga 70 peratus tidak selamat digunakan selepas bencana berlaku. 

“Struktur dan ketinggian jambatan ini juga tidak sesuai dan akan mengalami masalah setiap kali hujan lebat. Faktor cuaca amat memainkan peranan bagi pembinaan baharu jambatan kerana melibatkan kerja-kerja struktur asas jambatan,” katanya yang turut memberitahu pada tahun ini daerah Jempol menerima jumlah taburan hujan harian yang banyak.

Dalam pada itu, Nawal berkata, dijangkakan kira-kira 40 buah rumah penduduk setempat akan terlibat apabila kerja-kerja pembaikan jambatan tersebut dilaksanakan kelak.

“Terdapat dua laluan yang boleh digunakan oleh penduduk setempat untuk keluar ke jalan utama iaitu jalan yang melalui jambatan Sungai Taling dan Jalan Kenari. Penduduk setempat dinasihatkan agar menggunakan jalan alternatif yang lain bagi memastikan keselamatan pengguna,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN