KUALA LUMPUR: Pelakon, Norish Karman mendedahkan dia mewajibkan kelapan-lapan anaknya membaca al-Quran di hadapannya pada setiap malam sebagai asas utama dalam didikan keluarga.
Menerusi sebuah podcast, Norish berkata, selain mengaji, anak-anaknya juga diwajibkan menunaikan solat sunat dua rakaat sebelum tidur sebagai rutin harian yang tidak boleh ditinggalkan.
Katanya, dia akan bertegas sekiranya anak-anak gagal melaksanakan amalan tersebut kerana percaya pendidikan agama perlu diterapkan secara konsisten sejak kecil.
“Saya jadikan al-Quran sebagai asas untuk anak-anak. Selain itu, mereka juga wajib menunaikan solat sunat dua rakaat sebelum tidur.
“Saya akan marah sekiranya mereka tidak melakukannya. Apabila bangun tidur pula, mereka wajib mandi, solat sunat dua rakaat dan kami akan solat berjemaah bersama-sama,” katanya.
Menurut Norish, rutin keluarga itu diteruskan dengan bacaan surah-surah tertentu selepas selesai menunaikan solat berjemaah.
“Selepas itu kami akan membaca Yasin dan Surah Al-Kahfi. Kami juga akan meletakkan botol air di tengah-tengah ketika membaca al-Quran,” ujarnya.
Dalam pada itu, Norish turut menekankan kepentingan pemilihan pasangan hidup yang berlandaskan agama khususnya kepada anak-anak lelakinya.
Katanya, calon isteri yang memiliki ilmu agama yang baik sangat penting kerana golongan wanita memainkan peranan besar dalam mendidik anak-anak di rumah.
“Saya didik anak lelaki supaya mencari bakal isteri yang setanding ilmu agama. Kalau lebih tinggi, itu lebih baik.
“Jangan risau jika isteri lebih tinggi ilmu agama kerana mereka yang akan mendidik anak-anak di rumah,” katanya.










