Sistem baharu ambil pekerja asing belum dimuktamadkan

Sistem baharu ambil pekerja asing belum dimuktamadkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan pelaksanaan sistem pengambilan pekerja asing secara langsung melalui platform digital belum dimuktamadkan oleh kerajaan kerana masih di peringkat penelitian.

Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dalam kenyataan memaklumkan, cadangan itu sedang diperhalusi melalui beberapa sesi libat urus melibatkan pihak industri serta negara sumber tenaga kerja.

Katanya, proses tersebut bertujuan memastikan sebarang mekanisme yang diperkenalkan kelak mengambil kira keperluan pasaran buruh negara, selain menjamin sistem pengambilan pekerja asing yang lebih telus dan teratur.

“Namun, terdapat pelbagai versi laporan dan tafsiran yang berbeza-beza sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang awam dan pihak industri.

“Sebarang laporan atau kenyataan yang menggambarkan seolah-olah keputusan telah dimuktamadkan adalah tidak benar, mengelirukan dan tidak mencerminkan kedudukan sebenar kerajaan,” katanya hari ini.

Sesi libat urus itu melibatkan negara sumber tenaga kerja serta pemain industri termasuk penyedia teknologi Foreign Worker Centralised Management System (FWCMS) yang digunakan bagi pengurusan pekerja asing ke Malaysia sejak 2015.

Kesuma berkata, kajian terhadap sistem pengambilan pekerja asing turut menemukan kelompongan dalam proses perekrutan di negara sumber, khususnya melibatkan beban hutang yang ditanggung pekerja.

Katanya, kementerian sedang meneroka pembangunan platform digital berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menambah baik sistem pengambilan pekerja asing secara lebih telus dan tersusun.

“Kesuma telah mengkaji keseluruhan ekosistem pekerja asing dan mendapati terdapat kelompongan dalam komponen perekrutan pekerja di negara sumber, khususnya ikatan hutang yang ditanggung oleh pekerja asing (debt bondage).

“Pendekatan ini membolehkan pengambilan pekerja asing secara langsung oleh majikan berdasarkan keperluan sebenar tenaga kerja, merangkumi keseluruhan proses di negara sumber.

“Kos perekrutan akan ditanggung sepenuhnya oleh majikan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah dan memastikan tiada beban kewangan dikenakan kepada pekerja asing,” katanya.

Pelaksanaan tersebut akan berada di bawah kawalan penuh kementerian daripada segi dasar dan operasi serta diintegrasikan dengan sistem sedia ada kerajaan termasuk FWCMS dan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).

Daripada aspek pengurusan pekerja asing, peranan agensi pekerjaan swasta di Malaysia kekal dan tidak terjejas kerana platform itu boleh digunakan sama ada oleh majikan sendiri atau melalui agensi pekerjaan bagi melaksanakan proses perekrutan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN