PUTRAJAYA: Malaysia perlu memiliki pusat penyembelihan sendiri di luar negara bagi mengatasi isu keraguan status halal daging yang diimport.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) Aminuddin Yahaya berkata, pusat penyembelihan itu boleh dibina seperti melalui syarikat milik kerajaan (GLC) di mana-mana negara yang mengeksport daging ke negara ini.
Menurut beliau, strategi memiliki pusat penyembelihan sendiri sekali gus akan memberi pulangan ekonomi lebih baik kepada negara.
“Inisiatif ini banyak akan menyelesaikan masalah berbanding melantik pusat penyembelihan negara luar dan diberi pengiktirafan halal melalui badan halal luar negara.
“Jadi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan GLC boleh mengemukakan perkara ini, kalau nak ambil lembu di Australia, maka kita boleh buka rumah sembelihan kita di negara berkenaan,” katanya semalam.
Pada masa sama, Aminuddin berkata, dari segi pemantauan, rumah-rumah sembelihan negara luar, Jakim boleh melantik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai rakan kongsi untuk bekerjasama dalam tugas berkenaan.
Keterbatasan
Katanya, ramai sedia maklum keterbatasan Jakim dari segi kewangan dan tenaga kerja untuk membuat pemantauan, jadi perlu ada sinergi dengan pihak luar untuk membantu Jakim.
Selain itu, kata beliau, satu sistem ketat perlu dikenakan terhadap setiap rumah sembelihan termasuk badan pensijilan halal luar negara yang dilantik, yang mana semakan perlu dibuat berkala dan mengejut.
“Tindakan penalti dengan hukuman tegas perlu dikenakan sama ada penalti tinggi atau mengharamkan kemasukan daging ke negara ini serta menyenarai hitam rumah sembelih dan badan halal luar negara yang terlibat supaya benda itu tidak berulang,” katanya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Faizan Mohd. Nor berkata, Jakim digesa membuat audit semula di semua rumah sembelihan halal di Australia yang mendapat pengiktirafan badan halal luar negara diiktiraf jabatan itu.
Beliau berkata, tindakan itu perlu bagi memastikan setiap rumah sembelihan yang dibenarkan mengeksport daging ke negara ini tidak berkompromi dalam soal kepatuhan halal selepas pendedahan isu berkenaan yang berlaku di negara tersebut.
Berkompromi
Kata beliau, sebagai sebuah agensi yang diakui dunia, Jakim tidak boleh berkompromi perkara halal susulan terdapat permohonan dari badan halal luar negara untuk akreditasi Jakim yang berdepan isu ketidakpatuhan halal sebuah rumah sembelihan di bawah penyeliaan mereka.
“Kita tidak boleh beri muka kepada yang terlibat selepas isu di Thomas Food Industries (TFI) didedahkan belum lagi diselesaikan, timbul pula keraguan status halal rumah sembelihan lain. Ini menunjukkan Jakim perlu bertindak,” katanya.
Sejak Selasa lalu, akhbar ini mendedahkan pengakuan tiga bekas pekerja berhubung ketidakpatuhan halal sebuah rumah sembelihan di sana selepas isu sama berlaku di TFI di Lobethal, Australia.
Rumah sembelihan yang mendapat pengiktirafan halal Akreditasi dan Pembangunan Halal Australia (AHDAA) itu menggunakan kaedah stunning iaitu menembak pelalian tekanan bagi melemahkan haiwan sebelum disembelih.
Namun cara berkenaan boleh mengakibatkan tempurung kepala haiwan pecah jika tidak dilakukan dengan betul, sekali gus mengakibatkan haiwan itu mati terlebih dahulu sebelum disembelih.
Bagaimanapun, AHDAA mendakwa segala tuduhan yang dikaitkan dengan badan pensijilan halal luar negara itu sebagai rekaan yang bertujuan menjejaskan permohonan akreditasi semasa pihaknya dengan Jakim.- UTUSAN










