Ismail Sabri sentiasa utamakan UMNO – Hasni - Utusan Malaysia

Ismail Sabri sentiasa utamakan UMNO – Hasni

HASNI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO Johor yakin Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meletakkan kepen­tingan parti mengatasi kepen­tingan lain sekali gus meminta ahli-ahli UMNO berhenti cabar-mencabar antara satu sama lain.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, ketika ini sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri sedang mencari jalan mengukuhkan ekonomi dan merangka pendekatan menarik untuk orang muda supaya dapat turut terlibat menyumbang kepada masa depan negara.

Namun, menurut beliau, usa­ha Perdana Menteri tidak akan menjadi kenyataan jika ahli-ahli UMNO berbalah sesama sendiri.

Sebaliknya, kata Hasni, inilah masanya kepemimpinan UMNO perlu bersatu padu mengukuhkan kerjasama sesama ahli parti.

“Saya tidak nampak ada baik­nya kita cabar mencabar. Kita sepatutnya mencari jawapan kepada persoalan dihadapi rakyat dan bukannya bertegang leher antara satu sama lain yang akhirnya kita masih berdepan masalah sama. Sudahlah masa terbuang, jalan penyelesaian pun tidak dapat kita tawarkan kepada rakyat kerana pada akhirnya ialah kepentingan rakyat.

“Kita semua tahu bahawa kita dalam peringkat untuk menyediakan Belanjawan 2023. Adalah lebih baik kita tumpukan sepenuh masa untuk membantu Perdana Menteri dalam merangka belanjawan terbaik untuk rakyat melalui panda­ngan-pandangan dan cadangan kita, ini lebih elok,” katanya.

Mempertahan

Beliau tampil mempertahan Ismail Sabri yang juga Naib Pre­siden UMNO selepas mendakwa ada pihak cuba mempertikai keikhlasannya dalam menja­yakan resolusi Perhimpunan Agung Khas UMNO 2022 pada 15 Mei lalu iaitu menyegerakan Pili­han Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Malah, katanya, ada pihak yang menganggap bahawa resolusi itu sebagai satu kegagalan Perdana Menteri yang tidak mengambil berat terhadap keputusan perhimpunan khas itu.

Sedangkan, Hasni berpendapat, UMNO mempunyai barisan pemimpin berpengalaman dan telah mengambil langkah-langkah sewajarnya dengan menyedari cabaran-cabaran di hadapan, bermakna parti tidak ada pilihan melainkan mengambil pendekatan memperkuatkan UMNO dan mengukuhkan kerajaan.

“Saya tidak nampak apa yang dibuat oleh Perdana Menteri ini mencerminkan atau memberi gambaran bahawa Perdana Menteri tidak meletakkan kepentingan parti. Saya tidak mendengar bahawa Perdana Menteri akan mengagalkan apa juga bentuk komitmen yang diberi atau sokongan yang diberi terhadap Perhimpunan Agung Khas khususnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.