ALOR SETAR: Sebuah hotel di Limbong Kapal, di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 2.15 pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd. Zain bagaimanapun mengesahkan, tiada mangsa terlibat kejadian itu.
Menurutnya, bomba menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 2.26 pagi.
“Setibanya di lokasi, didapati api berada dalam keadaan marak di hotel tersebut yang merupakan sebuah bangunan dua tingkat kelas C.
“Operasi melibatkan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, BBP Jalan Raja serta pasukan bomba sukarela di kawasan berhampiran,” katanya.
Mohamadul Ehsan berkata, operasi itu tamat pada pukul 3.58 pagi dan kemusnahan akibat kebakaran itu dianggarkan sebanyak 90 peratus.
Sementara itu, Utusan Malaysia difahamkan kejadian tersebut bukanlah pertama kali berlaku.
Sumber memaklumkan, hotel itu sudah terbakar lebih lima kali sebelum ini, namun semuanya tidak melibatkan kemusnahan serius seperti yang terjadi awal pagi ini.
Malah, salah sebuah bilik di hotel berkenaan turut terbakar kira-kira pukul 8.14 pagi semalam yang melibatkan kemusnahan kira-kira 10 peratus sahaja daripada keseluruhan bangunan hotel itu. – UTUSAN