PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan lelaki Malaysia yang ditahan di Selatan Thailand bersama 75 kilogram (kg) ketamin dianggarkan RM9 juta dalam kereta dipandunya, Khamis lalu dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’ atau penghantar.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah rentas sempadan.
“Suspek didapati terbabit dengan rangkaian dadah di negara ini dan dipercayai berperanan sebagai transporter kepada sindiket dadah di Malaysia dan Thailand,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dimaklumkan mengenai tangkapan itu oleh Subdivisyen 3, Biro Pembanterasan Narkotik Polis (PNSB) Thailand melalui saluran rasmi pegawai perhubungan JSJN.
“Tangkapan dilakukan pada 6 November lalu di wilayah Chumphon selepas pihak berkuasa Thailand menemui 75kg ketamin di dalam kenderaan dipandu suspek.
“Suspek berusia 25 tahun berasal dari Sungai Petani, Kedah dan semakan mendapati lelaki itu mempunyai empat rekod jenayah lampau,” katanya.
Menurut laporan media Thailand, Siam Focus Time, suspek ditahan dalam operasi oleh PNSB bersama Polis Wilayah Chumphon di sekatan jalan Mukim Hong Charoen, daerah Tha Sae, Wilayah Chumphon di Selatan Thailand.
Dalam sekatan itu, polis menahan sebuah kereta jenis Nissan berwarna hitam bernombor pendaftaran Malaysia yang dilihat mencurigakan sebelum pemeriksaan menggunakan mesin X-ray menemukan ruang rahsia di bahagian belakang kenderaan berkenaan.
Pemeriksaan lanjut menemukan bungkusan plastik vakum berisi ketamin seberat 75 kilogram dianggarkan bernilai lebih 70 juta baht (kir-kira RM9 juta) yang disorok rapi dalam ruang tersembunyi tersebut.
Suspek mengaku diupah oleh individu tidak dikenali untuk memandu kereta dari Bangkok ke Malaysia dengan bayaran RM5,000 namun mendakwa tidak mengetahui kenderaan itu mengandungi bahan terlarang.
Dia ditahan atas kesalahan memiliki dan menjual bahan psikotropik Kategori 2 (ketamin) tanpa kebenaran bagi tujuan komersial yang boleh menyebabkan penyebaran bahan itu dalam kalangan orang awam.-UTUSAN










