PETALING JAYA: Seramai 30 individu akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung himpunan #Turun yang berlangsung di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya telah menghubungi beberapa individu untuk dirakam keterangan berhubung himpunan terbabit.
“Semua individu itu termasuk penganjur sudah dihubungi.
“Ada individu akan hadir untuk dirakam keterangan pada esok dan Selasa ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Difahamkan, antara individu yang akan dipanggil adalah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Adam Adli dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman.
Media semalam melaporkan polis membuka satu kertas siasatan terhadap Himpunan Turun Harga Barang yang diadakan di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini .
Polis mengesan satu perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang yang dihadiri kira-kira 100 individu yang terdiri daripada mahasiswa serta ahli politik.- UTUSAN