PETALING JAYA: Kira-kira 300,000 jemaah yang memohon visa umrah dan visa pelancong dalam masa terdekat ditangguhkan buat sementara waktu.
Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel and Tours, Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, penangguhan sementara waktu oleh kerajaan Arab Saudi itu bagi memudahkan pengurusan jemaah haji tahun ini.
“Apabila masuk musim haji, kebiasaannya kerajaan Arab Saudi mengenakan sekatan sementara kepada pemegang visa umrah dan visa pelancong.
“Pada masa sama, kedua-dua visa tersebut tidak dikeluarkan bagi memberikan laluan kepada jemaah haji daripada pelbagai negara untuk mengerjakan ibadah itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, dilaporkan bahawa 13 April lalu menjadi tarikh akhir bagi jemaah umrah untuk masuk, manakala tarikh akhir bagi jemaah asing untuk meninggalkan kota suci itu ialah pada 29 April.
Pada 7 April lalu, Kerajaan Arab Saudi mengenakan larangan visa sementara terhadap 14 negara menjelang musim haji dan pemegang visa umrah hanya boleh memasuki negara itu sehingga 13 April lalu.
Antara negara terlibat adalah Pakistan, India, Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iraq, Nigeria, Jordan, Algeria, Sudan, Ethiopia, Tunisia dan Yaman.
Larangan terbabit dikenakan terhadap visa umrah, perniagaan dan visa keluarga dengan sekatan dijangka berakhir pada pertengahan Jun.
Pada 12 April lalu, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengumumkan pengeluaran permit umrah melalui platform Nusuk akan ditangguhkan bagi warga Saudi, negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), ekspatriat di Arab Saudi, dan pemegang visa lain mulai 29 April.
Penangguhan itu akan berkuat kuasa sehingga 14 Zulhijjah 1446 bersamaan 10 Jun 2025. – UTUSAN










