Helikopter MD530G mengganas di Gemas - Utusan Malaysia

Helikopter MD530G mengganas di Gemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas di Tampin, Negeri Sembilan sekali lagi ‘bergegar’ menerusi Latihan Kuasa Tembakan (LKT) yang diadakan baru-baru ini.

Dentuman tembakan dan ledakan bom, semuanya hadir menerusi aset-aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya dari Tentera Darat Malaysia (TDM) seperti kereta kebal PT 91M Pendekar, kenderaan berperisai ACV 300 Adnan yang dipertontokan hari itu.

Deruan aset di udara seperti helikopter Agusta A109 LOH dan MD530G lengkap menjadikan LKT 2022 itu tidak ubah seperti filem perang yang mendebarkan penonton termasuk Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang turut hadir.

Kehadiran beliau itu turut diiringi Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain.

Turut hadir menyaksikan acara ini ialah anakanda kepada Yang di-Pertuan Agong, Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bermula pukul 10 pagi dan berlangsung selama dua jam, sembilan sasaran bertalu-talu menjadi ujian tembakan.

Setiap kali sasaran tembakan itu mengena, setiap kali itu hadir rasa bangga dengan kehebatan dan kemampuan seramai 2,300 pegawai dan anggota dari tiga perkhidmatan ATM yang terlibat dalam LKT kali ini.

Kesemua mereka hadir dengan pelbagai kepakaran terutama LKT 2022 yang membabitkan pelaksanaan maneuver dan kuasa tembakan melibatkan aset Infrantri, Mekanize, Armor, Artileri, Pasukan Udara Tentera Darat dan Pesawat Udara Tentera Laut Diraja Malaysia serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Selain pelbagai kenderaan tempur, LKT 2022 juga menampilkan aset persenjataan, merangkumi persenjataan kecil sehingga meriam berkaliber besar dan roket seperti Unit Lancar Berganda (ULB) Astros II, Meriam 155 MM G5 MK III serta peluru berpandu anti kereta kebal, Baktar Shikan.

Semuanya dikendalikan dengan penuh bertenaga oleh anggota tentera seolah-olah musuh sebenar berada di hadapan mereka.

Juga dilibatkan kemudiannya, aset-aset pesawat pejuang TUDM, seperti FA-18 D Hornet dan BAE Hawk 208 dalam segmen tembakan tidak langsung yang memperlihatkan keupayaan Tactical Display dan Close Air Support (CAS) pesawat-pesawat berkenaan.

Kesiapsiagaan ATM
Ketika ditemui pemberita, Hishammuddin berkata, selain untuk memastikan kesiapsiagaan ATM terus berada pada tahap tertinggi, LKT 2022 turut bertujuan memberi peluang kepada ATM khususnya TDM menilai ruang penambahbaikan bagi meningkatkan keupayaan aset mereka pada masa akan datang.

“Ia bukan sahaja penting menguji pengurusan pasukan dan keupayaan anggota dalam melaksanakan latihan tembakan peluru hidup, malah ia juga medan terbaik memperagakan keupayaan mengendalikan platform kenderaan dan persenjataan canggih serta terkini secara profesional sebagaimana latihan diberikan,” katanya.

Hishammuddin berkata, pihaknya akan terus komited dalam usaha mempercepatkan perolehan aset-aset baharu dalam memastikan ketiga-tiga cabang ATM dilengkapi dengan aset diperlukan kerana kehadiran aset-aset baharu pastinya akan meninggikan moral dan meningkatkan semangat anggota tentera.

“Selagi saya Menteri Pertahanan, kami akan buat apa sahaja bagi memastikan, moral mereka tinggi dan semangat mereka kuat dan insya-Allah apa yang mampu kita lakukan dari apa juga aspek.

“End user (tentera) yang akan gunakan aset-aset ini, wajar mereka ini menentukan apa aset-aset yang diperlukan dan sekiranya kita mampu dalam konteks kewangan negara, Kementerian Pertahanan akan mempercepatkannya,” kata beliau.

Menguji keupayaan
LKT 2022 juga sebenarnya tampil lebih istimewa apabila ia menyaksikan helikopter tempur MD530G yang diterima oleh TDM baru-baru ini dipertontonkan keupayaan dan taringnya buat kali pertama.

Helikopter buatan Amerika Syarikat yang dilengkapi sistem persenjataan seperti pelancar roket 70 milimeter (mm) dan gatling gun 7.62mm serta mesingan berat 12.7 mm itu, menjawab segala persoalan kritikan dan isu yang dihadapi sejak dari awal proses perolehannya.

“Saya bangga melihat helikopter MD530 kita yang sebelum ini orang kata tiada, hari ini bukan sahaja sudah ada tetapi sudah boleh terbang dan diatur gerak untuk Tentera Darat.

“Isu mengenainya dapat diselesaikan dan ia juga diterima oleh end user yang sangat memerlukannya iaitu PUTD. Hasilnya, hari ini kita semua dapat saksikan helikopter MD530G, mula dimanfaatkan dan dapat diuji keupayaannya dalam LKT tahun ini,” kata Hishammuddin.

Perolehan MD530G bermula sejak tahun 2016 lagi ketika Hishammudin masih menjadi Menteri Pertahanan ketika dalam kerajaan terdahulu. Selepas itu, projek pembelian enam helikopter berkenaan berdepan pelbagai isu termasuk kelewatan penghantaran ke negara ini.

Mengenai sama ada kerajaan akan membeli tambahan helikopter tersebut daripada enam yang sedia ada ketika ini, Hishammuddin memberitahu, ia bergantung kepada kewangan negara.

“Kita akan lihat juga, apa ancaman yang kita hadapi, kalau ancaman adalah di Lahad Datu, berdepan dengan penculik-penculik, tidak perlu dengan attack helicopter seperti Apache dan Tiger. MD530G sudah pun mencukupi asal dilengkapkan dengan senjata sesuai. Ia kini bukan sahaja boleh terbang tetapi dilengkapkan dengan senjata untuk berdepan dengan ancaman-ancaman tertentu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya