Geng Bajing curi kabel tumpas

Geng Bajing curi kabel tumpas

AHMAD Ridhwan Mohd. Nor @ Salleh menunjukkan barangan yang dirampas pihaknya daripada kumpulan itu, dalam sidang akhbar di IPD Kuala Langat, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Kegiatan haram Geng Bajing yang aktif mencuri kabel di daerah ini sejak empat bulan lalu tumpas selepas lima individu termasuk ketua kumpulan itu dicekup polis, baru-baru ini.

Kesemua lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 29 hingga 41 tahun menyasarkan tapak projek pembinaan untuk bergerak dengan menaiki motosikal.

Sejurus sasaran dikenal pasti, kenderaan pacuan roda akan digunakan bagi mengangkut kabel sebelum dijual di premis barangan lusuh.

Taktik itu bagaimanapun tidak bertahan lama selepas kesemua suspek berjaya dicekup di Bukit Changgang di sini, 29 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, lima suspek diberkas dalam dua operasi berasingan bermula pukul 12 tengah hari dan siasatan mendapati seorang daripada mereka  berusia 40-an merupakan ketua geng tersebut 

“Kira-kira pukul 5.10 petang hari sama, sepasukan anggota polis menyerbu sebuah premis barang lusuh di Dengkil.

“Empat lelaki iaitu seorang warga tempatan dan tiga Bangladesh disyaki pembeli barang hasil curi itu kemudian ditahan untuk tindakan lanjut ,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di sini, hari ini.

Jelas Ahmad Ridhwan, pihaknya merampas pelbagai barangan dan peralatan untuk kegiatan curi kabel selain selaras senjata api tiruan.

“Sebanyak lapan kes dikesan melibatkan kumpulan itu dengan jumlah kerugian mencecah RM300,000. Suspek tempatan dan semua warga asing itu masing-masing kini direman selama enam dan 14 hari,” ujarnya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN