Fokus BN sedia hadapi PRU15, soal kerusi, calon belum bincang - Utusan Malaysia

Fokus BN sedia hadapi PRU15, soal kerusi, calon belum bincang

MOHAMAD Hasan ketika mengetuai pertemuan di antara kepemimpinan BN di ibu pejabat bersama pengerusi parti-parti komponen BN dan Friends of BN, jawatankuasa biro politik parti-parti dan penyelaras BN peringkat Parlimen di Negeri Sembilan di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) belum membuat  keputusan mahupun berbincang mengenai pembahagian kerusi dan calon yang bakal bertanding mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara tersebut masih awal untuk ditentukan bagaimanapun beliau mengakui perbincangan awal mengenainya iaitu di antara parti di dalam BN telah dilakukan.

Menurut beliau, tumpuan BN kini adalah untuk memastikan jentera parti bersedia untuk menghadapi pilihan raya.

“Kami belum lagi bercakap tentang pembahagian kerusi, belum lagi pasal calon, ia akan diputuskan di peringkat Dewan Tertinggi BN, di situ akan berbincang dan di situ ada persefahaman.

“Belum juga lagi di peringkat itu (pertukaran kerusi) setiap parti masih lagi lihat di peringkat parti masing-masing, untuk lihat kekuatan dan kelemahan masing-masing sama ada di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Setakat ini, kami meneruskan apa yang ada tanpa mengambil kira kerusi yang telah dikosongkan oleh Gerakan yang keluar  BN, kita tidak lihat lagi. Walaupun sebelum ini Gerakan bertanding di satu-satu kerusi itu, tetapi kali ini jentera kita bersedia dan siapa mahu bertanding di situ tiada lagi isu kerana jentera BN telah bersedia,” katanya.

Pertemuan

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan  antara kepemimpinan BN di ibu pejabat bersama pengerusi parti-parti komponen BN dan Friends of BN, jawatankuasa biro politik parti-parti dan penyelaras BN peringkat Parlimen di Negeri Sembilan di sini hari ini.

Mohamad yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan dalam pada itu yakin parti itu mampu merampas kembali Negeri Sembilan pada PRU15 selepas ia kini diperintah oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Itu keutamaan kami, BN akan rampas semula Negeri Sembilan, gerak kerja parti kini adalah misi penting, jangan ambil sambil lewa.

“Negeri Sembilan boleh diambil semula, kami kalah dahulu kerana ada masalah dalam parti, kini kita selesaikan hal dalaman parti dan sama-sama hadapi pilihan raya.

“(DUN) Labu, kami boleh menang semula, juga Lenggeng, Kuala Klawang dam Pilah boleh dirampas semula,” katanya lagi.

PH berjaya menguasai kerajaan Negeri Sembilan selepas memenangi 20 kerusi DUN daripada 36 kerusi yang dipertandingkan pada PRU14, manakala 16 kerusi lagi dimenangi BN.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya