BERA: Felda Jengka 25 dalam gugusan Wilayah Jengka, dekat sini muncul pemenang Anugerah Kecemerlangan Rancangan Felda (AKRF) sekali gus membawa pulang wang tunai RM1 juta yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena Sambutan Hari Peneroka Felda 2022 di Padang Awam Felda Rentam, di sini hari ini.
Ketua Peneroka Felda Jengka 25, Zainol Abidin Abdul Rahman menyifatkan kemenangan itu sebagai bukti semangat tidak berputus asa warga Jengka 25 yang membuahkan hasil membanggakan.
Katanya, Felda Jengka 25 yang terkenal dengan program Inap Desa sudah tujuh kali menjadi finalis anugerah tersebut dan meraih kejayaan tertinggi menduduki tempat ketiga pada tahun lalu.
Menurutnya, tanah rancangan itu dipilih berdasarkan elemen sumber ekonomi, keselesaan dan keceriaan serta permuafakatan penduduk.
“Kemenangan ini bukti kesepakatan peneroka bersatu hati mengendalikan kebersihan, keceriaan dan keindahan kawasan kampung Felda dengan baik.
“Lokasi Felda Jengka 25 berlatar belakang Gunung Senyum menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara menginap di Inap Desa rancangan ini,” katanya selepas sambutan Hari Peneroka Felda 2022 di Felda Rentam di sini, semalam.
Tempat kedua AKRF 2022 diraih Felda Maokil 1 Wilayah Segamat, Segamat yang membawa pulang wang tunai RM300,000 dan tempat ketiga, Felda Raja Alias 4, Jempol yang menerima wang hadiah RM200,000.
Zainol Abidin berkata, hadiah RM1 juta dimanfaatkan sepenuhnya bagi menjadikan rancangan dalam taman, seronok didiami dan tarikan pelancong domestik serta asing.
Pengerusi Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda Jengka 25, Noorhayati Saad pula berkata, hasil penat lelah penduduk selama ini berbaloi dengan kemenangan itu, malah rezeki mereka lebih baik tahun ini apabila hadiah dinaikkan ke RM1 juta berbanding RM500,000 sebelum ini.
Sementara itu, Pengurus Rancangan Felda Jengka 25, Mohd. Yasin Mat Bokhari berkata, pengiktirafan juara AKRF 2022 menjadi penguat semangat kepada penduduk lebih 200 ketua isi rumah mengekalkan dan mempertahan kualiti kehidupan di lapangan. – UTUSAN