LONDON: Pasukan Penyelamat dan Mencari Antarabangsa Qatar daripada Pasukan Keselamatan Dalam Negeri (Lekhwiya) menubuhkan sebuah hospital medan sementara di timur Afghanistan bagi memberikan bantuan perubatan kepada mangsa gempa bumi yang melanda wilayah tersebut baru-baru ini.
Menurut laporan Agensi Berita Qatar (QNA) pada Isnin, hospital berkenaan merawat mangsa yang cedera serta memindahkan kes-kes kritikal ke fasiliti kesihatan utama di wilayah berdekatan.
Khemah-khemah sementara turut didirikan bagi menyediakan perlindungan kepada keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat bencana tersebut.
Wilayah timur Afghanistan digegarkan tiga gempa bumi besar dan dua gempa susulan kuat pada minggu lalu, menyebabkan sekurang-kurangnya 2,205 orang terkorban dan 3,640 lagi cedera, menurut kenyataan pentadbiran Taliban.
Sekurang-kurangnya 6,700 buah rumah dilaporkan musnah di wilayah Nangarhar dan Kunar, yang bersempadan dengan Pakistan.
Disebabkan kebanyakan kediaman dibina menggunakan batu kering, kayu dan struktur tidak kukuh, ramai keluarga memilih untuk tinggal di luar rumah sebagai langkah berjaga-jaga terhadap gempa susulan, sementara yang lain kini kehilangan tempat berteduh sepenuhnya.
Afghanistan, negara Asia Selatan yang mempunyai lebih 42 juta penduduk, telah lama bergelut dengan ketidakstabilan politik, peperangan, kemerosotan ekonomi serta kebergantungan kepada bantuan asing yang kian berkurangan sejak era 1980-an. -AGENSI










