Enam nelayan ditahan, bot kelas A dirampas ceroboh tangkap siput - Utusan Malaysia

Enam nelayan ditahan, bot kelas A dirampas ceroboh tangkap siput

SEBUAH bot nelayan kelas A dirampas Maritim Malaysia selepas menceroboh dan menangguk siput retak seribu di perairan Kuala Sanglang, Kangar, Perlis hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Enam nelayan ditahan serta sebuah bot nelayan kelas A dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas terlibat dengan aktiviti menangguk siput secara haram di perairan Kuala Sanglang di sini hari ini.

Pengarah Zon Maritim Malaysia Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, pihaknya turut merampas enjin, sangkar besi dan hasil tangkapan siput retak seribu dengan anggaran sekitar RM105,000.

Katanya, bot kelas A dengan nombor pendaftaran KHF 1772 itu ditahan pada pukul 3.15 pagi pada kedudukan lebih kurang 4.5 batu nautika dari barat Kuala Sanglang.

“Bot ronda Maritim Malaysia melakukan rondaan Op Aman dan Op Benteng Laut di sekitar perairan Perlis awal pagi tadi tiba di lokasi setelah menerima maklumat daripada orang awam mengenai pencerobohan kawasan tangkapan siput oleh bot tersebut.

“Pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan menemukan seorang tekong dan lima awak-awak kesemuanya warga tempatan yang berusia lingkungan 38 hingga 55 tahun yang berada di atas bot tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, pemeriksaan awal mendapati bot tersebut berpangkalan di Jeti Kuala Kedah dan menceroboh masuk ke perairan negeri ini bagi menangguk siput retak seribu secara haram tanpa kebenaran.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 11 (3) (C) Akta Perikanan 1985 kerana memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Kesemua suspek, bot dan hasil tangkapan siput tersebut dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut. Ini merupakan tangkapan ketiga dalam bulan yang sama membabitkan bot Kelas A ditahan di perairan Perlis,” katanya.

Menurut Mohd Hashim, meskipun rondaan penguatkuasaan kerap dilaksanakan, namun aktiviti menangkap siput secara haram masih kerap dilakukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya